EKONOMI

PENYERTAAN SERBA DINAMIK DI EKSPO 2020 DUBAI PLATFORM TERBAIK PROMOSI PRODUK MALAYSIA

31/03/2021 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac  -- Penyertaan Serba Dinamik Group Bhd sebagai antara rakan kongsi utama bagi Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai merupakan platform terbaik untuk mempromosikan kepelbagaian produk Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata ekspo yang dijadualkan berlangsung dari 1 Okt 2021 hingga 31 Mac 2022 itu bakal mempamerkan kemampuan perkhidmatan dan produk syarikatnya di mata dunia.

“Antara penglibatan Serba Dinamik adalah perbincangan rakan setara atau perniagaan kepada perniagaan. Kami juga akan diberi slot tertentu untuk menyampaikan apa yang dapat kami lakukan dan apa yang dapat kami hasilkan dari segi sumbangan kepada pelbagai negara.

“Kami juga diberikan peluang untuk berjumpa dengan pemimpin industri atau pembuat keputusan dari pelbagai negara,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata ekspo tersebut juga akan memberikan peluang terbaik khususnya kepada syarikat swasta berasaskan teknologi yang mempunyai sistem aplikasi sendiri untuk diperkenalkan kepada negara lain.

Mohd Karim turut meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat gergasi lain untuk mendukung misi penting itu dalam mengharumkan nama Malaysia sebagai lokasi terbaik bagi kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pendidikan.

Ekspo 2020 Dubai bertemakan, ‘ConnectingMinds, Creating the Future’ merupakan pameran global yang disertai 192 negara dan organisasi termasuk Malaysia.

Ekspo global yang ditadbir oleh Bureau International des Exposition itu menyasarkan 25 juta pelawat yang akan menampilkan inovasi serta idea dan kejayaan dari seluruh dunia bagi membolehkan pelaksanaan tindakan ke arah dunia yang lebih baik.

Pavilion Malaysia yang bertemakan Memperkasa Kemampanan itu mencerminkan komitmen negara untuk mengimbangi kemajuan sosio-ekonomi dengan perlindungan alam sekitar demi memastikan masa depan yang lebih terjamin dan lestari.

Pavilion Malaysia berhasrat untuk memberi inspirasi kepada para pengunjung dengan keramahan Malaysia, biodiversiti hutan hujan tropika dan usaha jangka panjang negara untuk memastikan industri dibangunkan secara mampan.

Penyertaan negara ke ekspo itu diketuai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi manakala Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) menjadi agensi pelaksana.

Ditanya sama ada pihaknya berhasrat untuk menceburi bidang lain selain perkhidmatan penyediaan penyelesaian informasi teknologi maklumat dan angkasa, Mohd Karim berkata pihaknya akan terus berusaha untuk bergerak seiring dengan kehendak semasa pasaran dunia agar tidak ketinggalan dengan pemain industri utama dunia.

“Perniagaan adalah satu perjalanan dan sepanjang perjalanan, kita perlu melihat apa yang akan terjadi dan hala tuju dunia.

“Kita mengikut arah tersebut dan yakin rakyat Malaysia dapat melakukannya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan