EKONOMI

PULAU PINANG CATAT PELABURAN PERKILANGAN DILULUSKAN RM14.1 BILION PADA 2020

04/03/2021 04:22 PM

GEORGE TOWN, 4 Mac -- Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan dalam sektor perkilangan yang diluluskan sebanyak RM3.5 bilion untuk suku keempat 2020, menjadikan aliran masuk terkumpul menjadi RM14.1 bilion untuk tahun 2020.

InvestPenang berkata pencapaian pelaburan untuk tahun 2020 adalah yang kedua tertinggi dalam sejarahnya, selepas merekodkan jumlah pelaburan bernilai RM16.9 bilion pada 2019, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan yang mampan.

Daripada RM14.1 bilion itu, ia berkata RM10.6 bilion, atau 75 peratus, terdiri daripada pelaburan langsung asing (FDI), menjadikan Pulau Pinang sebagai penerima FDI dalam sektor perkilangan ketiga tertinggi di Malaysia, projek daripada DexCom Inc, Ultra Clean Holdings, Bruker Malaysia, antara yang menyumbang kepada kepada jumlah FDI tinggi tersebut.

Sementara itu, pelaburan langsung domestik (DDI) di Pulau Pinang berjumlah RM3.6 bilion untuk tahun 2020, bukti ekosistem perindustrian Pulau Pinang yang kukuh, ia juga sebagai platform kepada pemain tempatan untuk mengambil bahagian dan berkembang maju.

InvestPenang berkata jumlah pelaburan dalam sektor perkilangan yang diluluskan terutama berkaitan dengan industri utama yang dipromosikan seperti elektronik dan elektrikal, mesin dan peralatan, serta industri peralatan dan saintifik (termasuk peralatan perubatan).

"Secara kumulatif, pelaburan ke sektor-sektor ini menyumbang 89 peratus daripada jumlah pelaburan perkilangan di Pulau Pinang yang diluluskan pada tahun 2020, ia menyumbang 50 peratus daripada pelaburan Malaysia dalam tiga sektor ini.

"Kepercayaan berterusan para pelabur di Pulau Pinang menunjukkan bahawa asas-asas yang kuat dan ekosistem serbaguna di negeri ini mempunyai kemampuan dan kemampuan untuk menyokong keperluan teknologi, produk, dan strategi pertumbuhan jangka panjang industri," kata InvestPenang dalam satu kenyataan.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), aliran masuk pelaburan melibatkan 58 projek pada suku keempat 2020 bersama dengan projek yang diluluskan dalam tempoh sembilan bulan tahun lalu, ia dijangka dapat menjana sebanyak 13,268 pekerjaan di negeri itu.

Pada suku keempat 2020, InvestPenang berkata negeri itu mencatat DDI pada RM1.8 bilion manakala FDI berjumlah RM1.7 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan