EKONOMI

CABOT CORP AKAN MELABUR DALAM TEKNOLOGI GETAH MAMPAN BAHARU DI MALAYSIA

26/02/2021 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb  -- Cabot Corp akan melabur dalam kemampuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi getah mampan baharu di kilangnya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Syarikat bahan prestasi dan kimia khusus global itu merancang untuk meningkatkan jumlah kakitangan lebih daripada 30 peratus selain menggunakan kawalan digital dan sistem automasi untuk meningkatkan pembuatan menerusi penyelesaian Engineered Elastomer Composites (E2C) yang dilancarkannya tahun lepas.

“Syarikat juga memeterai lanjutan dan peluasan jangka panjang bagi pajakan tanah di Port Dickson,” menurut kenyataan bersama Cabot Corp dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Jumaat.

Cabot menyasar untuk menerajui dan mengungguli teknologi getah melalui inovasi khusus seperti alat baharu untuk pemodelan dan pengoptimuman pencampuran cecair; kaedah baharu untuk menentukan ciri komposit elastomer, serta automasi pemprosesan getah berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata beliau yakin Cabot akan memperoleh manfaat daripada ekosistem industri kimia pepejal Malaysia, yang disokong oleh persekitaran perniagaan dan dasar mesra pelabur serta ketersediaan pekerja mahir di negara ini.

“Pelaburan oleh Cabot menjadi bukti bahawa persekitaran perniagaan Malaysia adalah berdaya tahan dan menjanjikan pulangan kepada pelabur,” katanya.

Beliau berkata sebagai rakan kepada pelabur, MIDA kekal komited untuk membawa projek dipacu pengetahuan dan berkualiti tinggi ke Malaysia, sejajar dengan agenda pelaburan negara untuk pertumbuhan ekonomi mampan jangka panjang yang berterusan.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Besar Cabot Engineered Elastomer Composites, David Reynolds berkata kilang Cabot di Malaysia telah menjadi aset utama pihaknya untuk membangunkan dan mengembangkan portfolio penyelesaian komposit elastomer.

“Justeru, kami turut komited untuk terus bekerjasama dengan MIDA dalam memperkukuh pelabur kami di Port Dickson di samping menyokong pertumbuhan rangkaian produk berprestasi tinggi ini,” katanya.

Penyelesaian E2C Cabot merupakan kategori baharu bagi komposit getah berprestasi berasaskan proses pencampuran cecair proprietari untuk susu getah asli, termasuk tiga produk berdaya maju secara komersial untuk penggunaan tayar perlombongan bagi laluan lasak.

Penyelesaian itu diiktiraf sebagai antara 10 elastomer terbaik dalam Senarai Kemampanan yang julung kali diwujudkan oleh European Rubber Journal pada Julai 2020.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan