AM

TIGA MOU DIMETERAI, LIMA PRODUK DILANCARKAN PADA MCY2020

17/12/2020 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis -- Sebanyak tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai pada Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2020 selama dua hari bermula hari ini yang dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) secara maya melalui portal mcysummit.mosti.gov.my.

MoU itu adalah di antara Technology Park Malaysia (TPM) dengan Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) mengenai penyertaan TPM menerajui kluster pengkomersialan di Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai.

Fav Food Industries juga menandatangani MoU dengan Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Universiti Teknologi Mara bagi tujuan membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar serta menggalakkan DNA kreatif dan inovatif dalam perniagaan.

Satu lagi MoU ditandatangani adalah melibatkan antara Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Kumpulan Modal Perdana Berhad (KMP) serta Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) mengenai kemudahan pembiayaan untuk menyokong pembangunan digital dan automasi dalam syarikat perniagaan melalui skim Dana Transformasi Pendigitalan Industri (IDTF).

Pada sidang kemuncak itu juga terdapat lima produk daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D)  pemegang taruh MCY turut dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin iaitu ‘Immunity Element’ dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta kit perkebunan bandar pintar oleh Green Eklan Sdn Bhd.

Produk lain ialah ‘StudentQR Points’ daripada Myfuturity Global Sdn. Bhd, ‘Xplore X7’ oleh AdvanceTC Marketing Sdn Bhd serta Sistem Pengurusan Sisa Sifar (ZEWMAS) daripada Institut Kemahiran Belia Negara Pekan juga dilancarkan.

Khairy juga menyampaikan Anugerah MCY 2020 secara maya bagi enam kategori.

Para pemenang membawa pulang hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM1 juta berserta trofi dan sijil penghargaan.

Pemenang keseluruhan Anugerah MCY 2020 yang menerima wang tunai RM100,000 ialah Lembaga Getah Malaysia (LGM) melalui produk sebatian getah-bitumen (BC), Bitumen Terubah Suai Getah Bekuan (CMB) dan Asfalt Terubah Suai Getah Bekuan (CMA).

LGM turut memenangi kategori Usaha Sama Penyelidikan dan Perniagaan melalui produk yang sama sekali gus meraih hadiah wang tunai sebanyak RM100,000, trofi dan sijil penghargaan.

Pemenang utama Anugerah MCY 2020 bagi empat kategori lain pula ialah DIA-Chemical Sdn Bhd melalui produk ‘DIACHLOR Aluminium Chlorohydrate’ (bagi kategori pencapaian pengkomersialan) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia melalui produk ‘Technology Licensing of Epoxidized Methyl Oleate as Palm Based Plasticiser’ (usahawan penyelidik).

Dua pemenang utama lain ialah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui produk ‘Square Fish Crackers and Drying Tray for Producing Crackers’ (usahawan sosial) serta Venigo Sdn Bhd bagi produk ‘V$ein Display Instrument’ (kategori inovator baharu).

Kesemua mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM130,000, trofi dan sijil penghargaan.

Anugerah MCY ini diadakan untuk mengiktiraf sumbangan bakat tempatan kepada pertumbuhan ekonomi negara di samping meningkatkan motivasi penyelidik dalam mengkomersialkan produk dan teknologi hasil daripada R&D.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan