Jumaat, 30 Oktober 2020
AM
18/10/2020 07:41 PM

PUTRAJAYA, 18 Okt -- Jumlah kes baharu harian COVID-19 di Malaysia mencatatkan rekod tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan 871 kes dilaporkan hari ini, menjadikan angka keseluruhan sebanyak 20,498 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus tersebut pada 7,049 kes.

Beliau berkata tujuh kematian dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan kes kumulatif kematian di Malaysia akibat pandemik itu setakat ini 187 kes.

Bagaimanapun, Malaysia melaporkan berita baik dengan kes pulih harian tertinggi pada 701 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 13,262 kes atau 64.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sebanyak 97 kes (11.1 peratus) pada hari ini ialah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman, Kluster Penjara Seberang Perai dan Kluster Penjara Kepayan. Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat. 

"Negeri-negeri di Lembah Klang pula merangkumi 9.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Negeri Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 702 kes (80.6 peratus)," katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada 871 kes baharu yang dilaporkan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara termasuk tiga warganegara, yang semuanya di Selangor iaitu masing-masing dua kes dari India dan Nepal serta satu dari Singapura.

“Daripada 866 kes penularan di dalam negara, dua kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept 2020 sebanyak 443 kes,” katanya.

Memperincikan jumlah kes penularan dalam negara, beliau berkata selain Sabah dengan 702 kes, Selangor (72), Pulau Pinang (45), Perak (10), Labuan dan Kedah (masing-masing 9 kes), Kuala Lumpur (7), Sarawak (5), Negeri Sembilan (3), Terengganu (2), manakala Johor serta Melaka masing-masing satu kes.

Sehingga kini, terdapat 86 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 28 memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga mengenal pasti empat kluster baharu, menjadikan kluster aktif di Malaysia setakat ini sebanyak 85.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan