AM

KPKT AKAN MANSUH PERATURAN SERAH DOKUMEN KERTAS

29/09/2020 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept  -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini dalam proses memansuhkan peraturan berkaitan keperluan penyerahan dokumen salinan cetak/kertas bagi kawalan pembangunan dalam usaha menggalakkan penggunaan sistem tanpa kertas di negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kerajaan Tempatan TPr Zamirzan Puji berkata kesemua 98 pihak berkuasa tempatan di Semenanjung Malaysia akan mula menggunakan Unit Pusat Sehenti (OSC) 3.0 Plus  Online - satu sistem dalam talian yang dibangunkan oleh kementerian bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyerahan, khususnya berkaitan kelulusan permit-permit pembinaan.

“Kita melihat kepada kaedah tanpa kertas yang tidak lagi memerlukan penggunaan kertas dan dokumentasi secara longgokan.

"Ini berikutan pelaksanaan 100 peratus secara dalam talian menjelang akhir tahun seharusnya tidak wujud lagi isu dari segi serahan dan permohonan. Tiada lagi keperluan untuk ke pejabat (pihak berkuasa tempatan) kerana boleh menggunakan sistem dalam talian, tidak kiralah di mana lokasi mereka," katanya pada sesi webinar e-Biz Clinic di sini, hari ini.

Beliau merupakan antara penceramah pada sesi anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Sistem OSC 3.0 Plus Online itu diperkenalkan pada Julai 2019 bagi menggantikan Sistem OSC Online yang digunakan sejak 2012.

Ia bertujuan membantu pihak 'Principal Submitting Person/Submitting Person' (Individu Penyerahan Prinsipal/Individu Penyerahan) mengemukakan permohonan masing-masing bagi tujuan kebenaran perancangan serta kerja-kerja tanah, pembinaan, landskap dan pelan jalan dan saliran.

Zamirzan berkata sebanyak 45 pihak berkuasa tempatan telah melaksanakan sistem yang dipertingkatkan setakat akhir Ogos 2020.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan