EKONOMI

MALAYSIA, PERANCIS PERKUKUH HUBUNGAN EKONOMI MELALUI PELABURAN

10/09/2020 10:32 AM

KUALA LUMPUR, 9 Sept -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengalu-alukan cadangan daripada MEDEF International, Perancis untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong berkata MoU itu akan menjadikan MIDA sebagai penyelaras untuk ahlinya mendapatkan maklumat mengenai pembangunan ekonomi Malaysia.

“Malaysia melihat nilai yang besar dalam hubungan dengan rakan dagang melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala dan serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tahun lepas, Perancis merupakan rakan dagang global ke-18 terbesar Malaysia dan rakan dagang ketiga terbesar dalam kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (termasuk United Kingdom), katanya.

Pada 4 Sept, MEDEF International, Kedutaan Besar Malaysia di Paris dan MIDA, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menganjurkan webinar untuk memberi maklumat terkini kepada pihak berkepentingan perniagaan Perancis mengenai kemajuan Malaysia dalam mengurangkan impak ekonomi berikutan COVID-19 terhadap industri Malaysia.

Lebih 30 peserta, kebanyakannya wakil dari syarikat Perancis yang beroperasi di Perancis dan Asia Tenggara, menyertai webinar tersebut.

“Melihat kepada kehadiran yang menggalakkan dalam webinar itu, saya gembira syarikat Perancis terus yakin dengan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka di rantau ini,” kata Lim dalam ucapannya.

Hubungan ekonomi antara kedua-dua negara telah berkembang dalam tempoh beberapa tahun ini berdasarkan asas diplomatik yang kukuh daripada pemimpin masing-masing, katanya, sambil menambah, “ini terbukti melalui peningkatan jumlah syarikat Perancis yang melabur di Malaysia”.

Sehingga Disember lepas, sebanyak 126 projek pembuatan dengan penyertaan Perancis telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM4.36 bilion, mewujudkan 10,913 potensi pekerjaan.

Pada webinar itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman berkata Perancis merupakan rakan dagang yang penting.

“Perancis telah lama menceburi sektor pembuatan dan perkhidmatan Malaysia.

“Menyedari mengenai keupayaan Perancis yang inovatif, kami mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dalam bidang peralatan pengangkutan (aeroangkasa), ICT, farmaseutikal, peralatan saintifik dan pengukuran, elektrik dan elektronik, makanan, produk kimia dan bahan kimia serta jentera dan peralatan,” katanya.

Duta Besar Perancis ke Malaysia Frédéric Laplanche memberitahu peserta webinar bahawa Malaysia antara negara contoh yang berjaya menangani pandemik COVID-19 dengan baik.

“Dengan sekatan perjalanan dan pergerakan, komuniti perniagaan Perancis digesa untuk terus meneroka peluang baharu di Malaysia.

“Dalam tempoh beberapa tahun ini, kita telah menyaksikan peningkatan pelaburan dan pengembangan baharu Perancis di negara ini, trend yang menggalakkan yang berterusan sehingga kini,” katanya.

Beliau gembira melihat Malaysia dan Perancis menunjukkan hasrat yang sama untuk terus meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara.

“Dengan dasar perdagangan terbuka dan mesra perniagaan Malaysia, terdapat peluang untuk komuniti perniagaan memanfaatkan norma baharu ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan