AM

JOHOR SASAR TAMBAH JUMLAH PENCIPTAAN, PEMILIKAN HARTA INTELEK

25/08/2020 08:19 PM

KULAI, 25 Ogos -- Kerajaan negeri Johor menyasarkan untuk menambah jumlah penciptaan dan pemilikan harta intelek melalui program pengkomersialan harta intelek, kata  Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Izhar Ahmad.

Beliau berkata langkah itu akan dilakukan melalui syarikat hiliran yang dapat memperkasakan aktiviti tekno-keusahawanan di negeri ini.

Katanya setakat 30 Julai 2020, terdapat sebanyak 2,984 syarikat hiliran di Johor. 

“Mengikut fakta terbitan daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), terdapat permohonan paten tempatan sebanyak 20,539 berbanding permohonan daripada paten asing sebanyak 156,562. 

“Permohonan ini direkodkan MyIPO sejak 1986 hingga Jun 2020,” katanya ketika berucap pada program Pengkomersialan Harta Intelek di sini hari ini.

Program itu merupakan hasil kerjasama strategik Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) selama dua hari, mulai semalam.

Turut hadir Ketua Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus.

Mohd Izhar berkata kerajaan negeri berharap dengan adanya program pengkomersialan, ia dapat membantu usahawan di Johor meningkatkan lagi permohonan paten tempatan setelah perkongsian serta pemindahkan pengetahuan dan kepakaran mengenai teknologi dan pengkomersialan harta intelek kepada usahawan dilaksanakan.

“Program itu juga untuk memberi bimbingan dan khidmat nasihat kepada syarikat yang terlibat dalam pengkomersialan harta intelek dan teknologi tempatan melalui program inkubasi dan ‘accelerator’.

“Ia juga dapat meningkatkan kadar pengkomersialan harta intelek di negeri ini dan meningkatkan jumlah usahawan berteknologi di Johor serta yang berkemahiran dalam teknologi baharu,” katanya.

Terdahulu, seramai 80 usahawan di negeri ini menyertai program itu dan lima syarikat yang terpilih akan menjalani program inkubasi selama enam bulan.

Sebanyak 10 syarikat lagi berpeluang mendapat bimbingan daripada mentor dan pakar dalam bidang masing-masing selama dua bulan. 

Program yang dilaksanakan secara berfasa itu merangkumi bengkel Kesedaran mengenai Pengkomersialan Harta Intelek, proses penilaian dan diagnosis serta proses pemindahan dan pengkomersialan teknologi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan