Ahad, 05 Julai 2020
AM
30/06/2020 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun  -- Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat keputusan untuk membuka Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar, Perlis dan di Durian Burung, Kedah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata ia akan dibuka bagi kenderaan perdagangan komersial dan kargo sahaja.

“Agensi-agensi yang terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan ini untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat bersetuju agar rakyat Malaysia yang berada di Singapura dan berhasrat untuk pulang ke Malaysia tidak perlu lagi memohon permit MyPass daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia. 

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ismail Sabri berkata, 39 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), melibatkan tiga direman dan 36 lagi dikompaun. 

Antara kesalahan ingkar PKPP ialah aktiviti pub atau kelab malam, aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan jarak sosial dan aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PDRM telah membuat 67 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,527 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Tanpa Izin.

Katanya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.

Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata 28 operasi sanitasi awam dijalankan semalam meliputi 23 zon di sembilan negeri antaranya di Sabah, Melaka dan Terengganu.

Dalam pada itu, 456 rakyat Malaysia pulang ke tanah air semalam, manakala 161 individu memasuki sempadan negara di Johor dan kesemua mereka telah diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing. 

“PDRM telah membuat 1,006 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 74 tapak binaan seluruh negara semalam dan daripada jumlah itu 61 tapak binaan patuh SOP, lima tapak tidak patuh SOP dan diberi amaran manakala lapan lagi tidak beroperasi.

--BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan