Sabtu, 04 Julai 2020
25/06/2020 11:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini melancarkan satu saluran baharu iaitu Saluran Berita RTM, satu lagi medium tambahan untuk kerajaan di dalam usaha memerangi berita palsu dan menyampaikan berita sahih. 

Saluran baharu itu dilancarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah di Angkasapuri di sini dan ia boleh diakses melalui siaran televisyen digital, myFreeview saluran 123.

“Dengan pengenalan saluran baharu ini, ia menunjukkan RTM melangkah satu tahap lagi tahap kehadapan dan saya yakin RTM secara keseluruhan akan dapat memberi sumbangan lebih besar terutama dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran itu. 

Menurut siaran akhbar yang diedarkan kepada media, saluran bertunjangkan ‘Yang Sahih di Berita RTM’ ini memberi fokus kepada berita dan program berkaitan berita yang bersiaran 24 jam sehari meliputi pelbagai bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Saluran baharu itu menawarkan 25 slot berita setiap hari, 12 bicarawara seminggu, lima hari berita perniagaan dan dua program majalah seminggu yang menyumbang kepada pemerkayaan  minda masyarakat dengan pelbagai maklumat.

Selain itu, ia turut menampilkan program Pastikan Sahih yang bersiaran pada pukul 6.30 petang, antara Isnin hingga Jumaat, khusus bagi menangkis berita tidak benar yang tular dalam masyarakat. 

Program itu berperanan menyuntik maklumat yang betul dan sahih kepada orang ramai berkaitan kenyataan fitnah dan berita-berita palsu terutama yang cepat tersebar melalui media sosial.

Saluran itu juga membolehkan penonton menyaksikan siaran berita radio pelbagai bahasa selain siaran langsung dari konti-konti radio RTM di seluruh negara yang turut membicarakan isu-isu khusus berkaitan di peringkat negeri.

“Slot ini secara tidak langsung memberi peluang kepada kepimpinan negeri dan pemimpin masyarakat setempat untuk bersiaran secara langsung di negeri masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata selain daripada memerangi berita palsu dengan mengambil tindakan undang-undang dan membuat penafian, media perlu mengambil pendekatan baharu dengan membanjiri ruangan yang ada dengan berita sahih.

“Kita perlu terus membanjiri medium sedia ada dengan banyak berita baik, sahih dan benar. Kerana cara terbaik memerangi berita palsu ialah dengan melimpahkan  berita baik.  

Kita bawa naratif yang benar dengan bercerita, saya yakin melalui usaha ini orang awam dapat membezakan mana berita benar dan mana palsu,” katanya.

 -- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan