Isnin, 25 Mei 2020
AM
23/05/2020 04:28 PM

SEREMBAN, 23 Mei -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan mengambil masa kira-kira 10 jam untuk memadam kebakaran membabitkan sebuah tangki di loji penapisan minyak di Port Dickson semalam.

Pengarah JBPM negeri Hamdan Ali berkata kebakaran berjaya dipadamkan pada 1.50 pagi.

Beliau berkata proses pemadaman kebakaran tangki bersaiz 61 meter lebar dan ketinggian 23 meter dengan kapasiti minyak sedia ada sebanyak 53,500 liter itu  mencabar, berbahaya serta perlu dilaksanakan secara berhati-hati oleh 124 anggota dan pegawai dari JBPM negeri dan Putrajaya.

“Ini termasuk 25 orang daripada Hengyuan Refining Company Bhd (HRC) dan 10 orang ERT PETRON. Walaupun menghadapi kesukaran, kita berjaya menangani insiden ini dengan berkesan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian berkenaan, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. 

Semalam, Hengyuan Refining Company Bhd dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur berkata kebakaran berlaku di salah sebuah tangki minyak mentah di premisnya.

Menurutnya pasukan Pengurusan Respons dan Kecemasannya telah digerakkan, dan pasukan Fire, Rescue and Medical (FiRM) telah bergegas ke lokasi kejadian pada kira-kira pukul 4.32 petang bagi memadamkan kebakaran itu.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan