Isnin, 25 Mei 2020
EKONOMI
20/05/2020 02:14 PM

KANGAR, 20 Mei -- Pengurusan hartanah komersial Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) tidak diurus dengan cekap pada tahun 2018, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2018 Siri 2, mengenai aktiviti agensi negeri Perlis.

Laporan itu turut menyatakan bahawa objektif dan sasaran yang ditetapkan PKENPs juga tidak dapat dicapai sepenuhnya.

“Kedua-dua pelan dan pembangunan strategik PKENPs yang disediakan sebagai sasaran pengurusan hartanah komersial adalah kurang realistik.

“Sasaran pembangunan hartanah telah dibuat tanpa mengambil kira sumber kewangan, pelabur yang berpotensi dan permintaan pasaran yang sebenar,” menurut laporan itu.

LKAN Tahun 2018 dibentangkan secara bersiri sebanyak dua kali. LKAN Siri 1 telah dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 manakala LKAN Siri 2 pada 2 Dis 2019, setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seterusnya, LKAN Tahun 2018 Siri 1 telah dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perlis pada 10 Dis 2019 manakala LKAN Tahun 2018 Siri 2 dibentangkan hari ini, setelah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Laporan itu menyebut setakat 31 Julai 2019, dianggarkan berlaku pembaziran berjumlah RM10.91 juta akibat projek pembangunan yang tidak ekonomik iaitu Projek Halal Park (RM7.79 juta) serta Projek Easy Shop (RM3.12 juta).

Selain itu, dianggarkan PKENPs kerugian hasil berjumlah RM3.4 juta akibat pengurangan kadar harga jualan bagi Tanah Industri Pauh berbanding harga yang disyorkan oleh Lembaga Pengarah.

Menurut laporan itu, ketua jabatan yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara yang dilaporkan dalam LKAN untuk tujuan pengesahan.

“'Exit Conference' juga telah diadakan bagi tujuan membincangkan penemuan Audit dan mendapatkan penjelasan serta maklum balas terhadap isu-isu berbangkit.

“Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil oleh ketua jabatan, Jabatan Audit Negara juga telah mengemukakan empat syor terhadap pengurusan Aktiviti Hartanah Komersial untuk memperbaiki kelemahan yang dilaporkan,” menurut laporan itu.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan