EKONOMI

MED, MTDC BEKERJASAMA BANTU PERSIAP PKS KE ARAH TEKNOLOGI DIGITAL

09/12/2019 11:31 PM

BANGI, 9 Dis -- Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) untuk membantu mempersiapkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada penggunaan teknologi digital dalam perniagaan.

Ketua Setiausaha MED Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi berkata di bawah Program Pemecut Industri 4.0 MED-MTDC sebanyak 100 syarikat mikro dan PKS bumiputera diberi pendedahan dengan teknologi Industri 4.0 (I4.0) dalam perniagaan melalui penyediaan teknologi dan pementoran.

Menurutnya, program yang dilaksanakan dalam tiga fasa dan berakhir pada Februari tahun depan itu menyasarkan 50 PKS mencapai standard I4.0, iaitu penggunaan automasi dan teknologi yang akan menjadikan mereka lebih berdaya saing mendepani cabaran pasaran ekonomi.

"Adaptasi PKS ke atas teknologi I4.0 akan meningkatkan keupayaan syarikat dalam mendepani cabaran pasaran global tidak kira di pasaran tempatan mahupun antarabangsa," katanya pada sidang media selepas merasmikan program tersebut, di sini, hari ini.

"PKS tempatan kini tidak boleh hanya memfokuskan kepada pemasaran dan pengeluaran bagi pasaran tempatan semata-mata tetapi perlu memastikan produk serta perkhidmatan mampu menembusi pasaran global,” kata Wan Suraya.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus pula berkata pihaknya turut membawakan usahawan yang telah mencapai standard I4.0 bagi berkongsi pengetahuan dengan PKS yang terlibat seterusnya mengenal pasti potensi sedia ada untuk dikembangkan ke tahap lebih tinggi.

Melalui program itu juga, katanya, MTDC akan menyediakan tenaga pakar penyedia solusi industri 4.0 tempatan untuk membantu mengembangkan potensi PKS bagi mempercepatkan pencapaian sasaran pengkomersialan mereka.

"Kita perlu bangunkan usahawan tempatan dalam bidang I4.0 sendiri agar tidak terus bergantung dengan teknologi yang dibawa daripada luar negara," kata Norhalim.

 -- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan