KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Skuad hoki remaja wanita negara memulakan Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia Wanita 2024 dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Thailand 3-0 pada aksi pertama aksi Kumpulan A di Al Amarat, Muscat, Oman hari ini.
Skuad kendalian Lailin Abu Hassan membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Nurshamine Azureen Mohammed Badusha sebelum menggandakan kedudukan hasil jaringan pukulan sudut penalti Nur Syahirah Azwan pada minit ke-31.
Bersambung separuh masa kedua skuad negara yang diberi julukan Young Tigress beliau terus menjarakkan kedudukan apabila Nor Zulaikha Nazihah Tamjit menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-54 dan keputusan kekal 3-0 hingga ke wisel penamat.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Pasukan Remaja Wanita Negara Lailin berkata kurang berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan anak buahnya, kerana banyak mensia-siakan peluang menyempurnakan pukulan sudut penalti sepanjang perlawanan.
"Saya tidak berpuas hati walaupun capai kemenangan, banyak pukulan sudut penalti yang tidak berhasil disudahkan dengan baik, jadi saya harap mereka akan lebih fokus untuk aksi seterusnya, esok tiada perlawanan kita akan adakan latihan dan analisis perlawanan India.
"India pasukan yang kuat dalam perlawanan ini jadi kita harus bersiap sedia untuk dan membuat perancangan terperinci untuk menentang India," katanya menerusi rakaman video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.
Young Tigress dijadual berhadapan skuad gergasi India pada Isnin, diikuti bertemu Bangladesh pada Rabu dan China pada Khamis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial