JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Peroleh Perintah Halang Transaksi Wang 1MDB Lebih USD115 Juta Dalam Akaun Putera Turki

10/10/2025 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh perintah daripada Mahkamah Tinggi di sini bagi menghalang tiga transaksi wang berjumlah USD115,320,661.63 (kira-kira RM486.4 juta) yang juga hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang disimpan dalam tiga akaun di Switzerland atas penama Putera Turki Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.  

Tiga transaksi itu membabitkan USD87,148,732.89 dan USD12,777,759.74 dalam dua akaun bank di J.P Morgan dan USD15,394,169 di dalam akaun bank UBS Switzerland. 

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor pada pendengaran kes semalam (9 Okt), selepas mendengar permohonan yang difailkan SPRM pada 7 Okt tahun ini.

Perintah itu dikeluarkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasıl Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). 

Menurut suruhanjaya itu, permohonan berkenaan berdasarkan maklumat diterima SPRM pada 2011, bahawa penama itu telah menerima, memindah dan menggunakan hasil daripada penyelewengan dana 1MDB melalui akaun-akaun perbankan miliknya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan