EKONOMI

Belanjawan 2025 Pacu Produktiviti Sektor Pembinaan, Infrastruktur - MPC

30/10/2024 11:09 AM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 menyuntik prospek cerah kepada sektor pembinaan di Malaysia dengan tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur berkualiti, memperkukuh pelaburan strategik serta memastikan semua sektor berfungsi secara inklusif dan mampan.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Zahid Ismail berkata kerjasama awam-swasta turut dijadikan platform dalam usaha mempercepat pelaksanaan projek-projek yang dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Tahun 2025 akan turut menyaksikan lebih penumpuan kepada pembangunan negara yang fokus kepada kepentingan rakyat dan penyediaan kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri.

"Pembangunan ini dapat direalisasikan sekiranya pihak berkuasa menambah baik prosedur sedia ada dengan memendekkan proses kelulusan yang tidak diperlukan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Selain itu, MPC juga melalui Nexus Produktiviti Pembinaan dan Alam Bina (COBEPN) dengan Kerjasama Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi, berperanan penting dalam memperluas Ikhtiar Reformasi Karenah Birokrasi yang bertujuan menambah baik dan mempercepat urusan di semua agensi kerajaan. 

Zahid berkata sejumlah RM25 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif itu pada tahun depan bagi kemudahan rakyat, peniaga dan pelabur.

"MPC komited terhadap kerjasama ini bagi membantu mempercepat urusan kerajaan sepertimana proses kelulusan sijil perakuan siap kerja (CCC) melalui Ikhtiar Kulai Fast Lane yang disingkatkan kepada 14 hari berbanding 30 hari," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan