AM

TTPM Terengganu Terima Tuntutan Tertinggi Babit Pakej Haji, Umrah

28/10/2024 09:08 PM

KUALA TERENGGANU, 28 Okt (Bernama) -- Tuntutan membabitkan pakej umrah dan haji tertinggi difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Terengganu bagi tempoh Januari hingga 20 Okt lepas dengan nilai tuntutan RM1.11 juta.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata pihaknya menerima 60 pemfailan tuntutan bagi kes itu dan penuntut merupakan mangsa tawaran pakej murah.

“Apabila pakej itu terlampau murah selain tawaran yang tidak masuk akal, ia menyebabkan ramai yang menjadi mangsa. Ada juga pengguna yang telah membayar harga pakej namun penyedia pakej gagal menguruskan pakej berkenaan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KPDN Terengganu, di sini hari ini.

Beliau berkata selain tuntutan pakej umrah dan haji, kes pemfailan tertinggi turut membabitkan 14 kes pembelian barang kemas bernilai lebih RM130,000 dan 12 kes pembinaan rumah (kira-kira RM415,000).

Keseluruhannya, Saharuddin berkata TTPM Terengganu merekodkan 157 kes pemfailan tuntutan pengguna bagi tempoh sama melibatkan 34 klasifikasi kes dengan jumlah tuntutan berjumlah RM2.04 juta.

Beliau berkata jumlah itu meningkat dalam tempoh lima tahun iaitu 89 kes pada 2019, 90 kes (2020), 94 kes (2021),130 kes (2022) dan 156 kes (2023).

“Peningkatan jumlah kes pemfailan tuntutan pengguna ini menunjukkan tahap kesedaran pengguna yang semakin tinggi dan mula cakna tentang platform yang disediakan kerajaan dalam memastikan hak mereka sebagai pengguna terpelihara dan terbela,” katanya.

Saharuddin berkata TTPM ialah platform alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna membuat tuntutan tebus rugi berkenaan pembelian barang atau memperoleh perkhidmatan secara mudah, kos efektif dan murah serendah RM5 bagi setiap pemfailan tuntutan.

Bidang kuasa TTPM adalah untuk mendengar tuntuan yang jumlah amaunnya tidak melebihi RM50,000 dan tuntutan yang terakru dalam masa tiga tahun dari tuntutan tersebut, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan