Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Dalam usaha melestarikan industri sawit tempatan, pekebun kecil di negara ini telah menerima impak positif selain turut menerima cabaran daripada pengenalan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), kata Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan.
Adzmi berkata pihaknya turut berkongsi impak dan manfaat yang diperoleh golongan tersebut melalui pensijilan berkenaan termasuk potensi masa depan yang memberi kelebihan kepada Malaysia berbanding negara pengeluar sawit lain untuk harga lebih baik di peringkat antarabangsa.
CABARAN UTAMA DALAM PEMATUHAN MSPO
Menurutnya isu pemilikan tanah, kekangan buruh dan kos operasi yang meningkat antara isu utama yang menghalang golongan itu daripada mendapatkan pensijilan MSPO.
Beliau turut menerangkan syarat nyata tanah yang telah menyukarkan pekebun kecil yang menanam sawit di tanah berstatus getah atau padi, untuk menukar status tanaman mereka.
“Kerajaan negeri akan menguatkuasakan tindakan dengan mengenakan denda ke atas pelanggaran syarat pengunaan tanah kepada pekebun kecil yang ingin membuat pertukaran tersebut,” katanya.
MSPO merupakan skim pensijilan kebangsaan yang diperkenalkan untuk ladang kelapa sawit, pekebun kecil dan kilang pemprosesan minyak sawit di Malaysia serta pekebun kecil yang memiliki kurang daripada 40.46 hektar kebun kelapa sawit layak menerima insentif pensijilan MSPO secara percuma.
Tujuan MSPO adalah untuk menetapkan piawaian kebangsaan dalam pengeluaran minyak sawit lestari dengan memberi tumpuan kepada amalan pertanian mesra alam, tanggungjawab sosial, serta pengurusan ekonomi yang mampan.
Dalam pada itu, Adzmi mencadangkan supaya syarat nyata tanah hanya memerlukan hak milik persendirian dan tanah pertanian tanpa spesifikasi jenis tanaman kerana di bawah MSPO, status tanah pertanian mencukupi untuk pematuhan syarat.
Adzmi juga mengenal pasti masalah khusus di beberapa kawasan tertentu seperti Sabah dan Sarawak apabila isu pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) masih menjadi persoalan utama yang diselesaikan secara berlainan di setiap negeri.
“Manakala di Negeri Sembilan pula menghadapi masalah tanah adat yang tidak membenarkan penanaman sawah diganti dengan tanaman lain.
“Selain itu, isu buruh di kawasan kebun yang jauh di pedalaman memaksa pekebun kecil mengambil pekerja luar yang statusnya tidak jelas berikutan pasaran buruh tempatan agak sukar untuk mendapatkan pekerja,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata kalangan pemilik kebun kecil yang rata-rata berumur lebih 60 tahun juga berdepan kesukaran untuk mendokumenkan semua aktiviti ladang mereka.
Katanya situasi tersebut berbeza dengan pihak estet yang mempunyai sistem pengurusan yang lebih teratur dan prosedur pensijilan MSPO lebih mudah diurus.
Oleh itu, katanya PKPKM amat menyokong inisiatif kerajaan untuk menyatukan pengurusan pekebun kecil dalam bentuk kluster supaya ia diurus dalam skala ekonomi yang besar.
“Jika pengurusan ala estet dilaksanakan kepada kelompok pekebun kecil melalui satu aplikasi, sistem 'big data' dapat diwujudkan supaya pengguna boleh mengenal pasti sumber minyak sawit dari pekebun kecil dan memberi harga premium,” katanya.
IMPAK HARGA BAGI PEMATUHAN MSPO BELUM DIRASAI
Beliau berkata sejak pelaksanaan MSPO pada 2014, sebanyak 96 peratus pekebun kecil telah memperoleh pensijilan tersebut yang menyumbang kepada produktiviti dengan kuantiti dan kualiti pengeluaran yang lebih baik.
“Namun ia perlu diseimbangi dengan tawaran harga premium oleh pembeli dan kesan ini yang belum kelihatan. Tetapi apa yang nyata kini adalah kos yang semakin meningkat,” katanya.
Bagaimanapun pihaknya tetap yakin MSPO mempunyai potensi jangka panjang iaitu apabila pensijilan tersebut diterima oleh negara pengimport dengan tawaran harga premium.
“Oleh kerana pekebun kecil mempunyai pensijilan MSPO, kami mencadangkan agar pasaran eksport memberikan harga premium kepada mereka serta diberikan peluang kepada mereka untuk berunding terus dengan kilang mengenai kualiti dan harga selain mengesyorkan peniaga sawit juga disijilkan dengan MSPO,” katanya.
TESTIMONI DARIPADA PEKEBUN KECIL
Sementara itu, pekebun kecil Mohd Sharul Haizam Shafei, 40, berkata pematuhan MSPO menjadikan kebunnya seluas 3.23 hektar lebih terurus dengan hasil tanaman yang lebih baik.
“Sebelum ini, kami menggunakan racun secara menyeluruh, tetapi kini hanya dibenarkan meracun lorong sahaja, yang menjadikan pokok lebih sihat dan produktif.
“Dengan mengamalkan cara MSPO, buah kelapa sawit yang dihasilkan menjadi lebih berat dan berkualiti, ia dapat meningkatkan daya saing pekebun kecil di pasaran,” katanya yang telah mendapatkan persijilan MSPO sejak tahun 2023 dan berasal dari Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor.
Beliau juga berharap kerajaan terus menjaga kestabilan harga seperti sekarang dan menyediakan lebih banyak insentif untuk pematuhan MSPO.
CABARAN PEKEBUN KECIL YANG BELUM DISIJILKAN
Seorang lagi pekebun kecil yang belum mendapatkan pensijilan MSPO, Yahya Khamis, 65 tahun, dari Merlimau, Melaka, berkongsi cabaran yang dihadapinya dalam mengusahakan ladang kelapa sawit dengan keluasan lebih kurang 0.8 hektar selama lebih 15 tahun.
“Bagi warga yang telah berusia seperti saya ini, tidak faham sangat mengenai MSPO. Tetapi saya tahu akan kepentingan pensijilan tersebut.
“Saya mencadangkan kerajaan mengadakan lebih banyak seminar dan program penerangan di kawasan kampung untuk meningkatkan kesedaran mengenai MSPO dan faedahnya,” katanya.
Menurut beliau, di kampungnya dan juga kampung berdekatan, terdapat hampir 20 orang pekebun kecil yang belum mendapatkan pensijilan MSPO.
Yahya juga berharap kerajaan dapat memainkan peranan lebih aktif dalam membantu pekebun kecil sawit sepertinya.
INISIATIF PKPKM UNTUK MENYOKONG PEKEBUN KECIL
Dalam pada itu, Adzmi memaklumkan PKPKM melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu pekebun kecil termasuk rundingan dengan pihak kerajaan untuk mempermudahkan proses pensijilan dan memberikan pensijilan secara percuma.
“Kami juga menganjurkan program bersama pekebun kecil kelapa sawit di Semenanjung, melibatkan agensi seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) untuk memberikan penerangan tentang kriteria pelaksanaan MSPO,” katanya.
Dalam aspek teknikal, Adzmi berkata mereka menyediakan latihan dan sokongan teknikal melalui tenaga pengajar yang terlibat secara langsung dalam pensijilan MSPO dan mengumpulkan isu pekebun kecil untuk dibawa kepada kementerian atau agensi terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial