KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Malaysia mencapai kejayaan penting dalam kecekapan tenaga, yang disifatkan sebagai bahan api pertama peralihan tenaga, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air berkata Malaysia mencapai 5.82 peratus penjimatan tenaga elektrik bersamaan 8,769 Gigawatt jam (GWj) dengan nilai RM2.21 bilion setakat Jun 2024.
"Ini adalah kemajuan besar memandangkan kita menyasarkan untuk mengurangkan pertumbuhan permintaan elektrik sebanyak 8.0 peratus.
“Ia menyumbang pengurangan keseluruhan sebanyak 38 juta tan karbon dioksida bersamaan pelepasan GHG dan dijangka menjimatkan elektrik kira-kira 52,000 GWj menjelang 2025," katanya menerusi ucapan perasmian beliau pada persidangan Enlit Asia 2024, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Fadillah berkata pencapaian ini disokong oleh program dan inisiatif seperti Standard Prestasi Tenaga Minimum (MEPS), audit tenaga dalam sektor komersial dan perindustrian dan program pelabelan Indeks Tenaga Bangunan (BEI), yang menghasilkan penjimatan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon yang tinggi.
Beliau berkata Malaysia akan mengembangkan kapasiti tenaga boleh baharunya (TBB) dan baru-baru ini membenarkan eksport TBB dan perdagangan tenaga rentas sempadan bagi mencapai kapasiti terpasang sebanyak 70 peratus.
Awal tahun ini, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) untuk jualan elektrik hijau rentas sempadan ke negara jiran.
"Kami percaya platform ENEGEM akan membolehkan Malaysia mengukuhkan lagi rangka kerja penyepaduan elektrik rentas sempadannya sambil membuka jalan bagi pembangunan TBB yang lebih besar dan kerjasama serantau dalam perdagangan tenaga rentas sempadan antara negara-negara ASEAN," kata Fadillah.
Beliau berkata pembangunan TBB Malaysia dijangka terus meningkat, merangsang pelaburan di seluruh rantaian TBB dan mempelbagaikan program TBB negara melalui prinsip “willing buyer-willing seller” (jual beli suka rela).
Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) telah diperkenalkan untuk meningkatkan akses korporat kepada bekalan elektrik hijau.
Di bawah program CRESS, penjana TBB dan syarikat korporat yang layak boleh mengatur bekalan elektrik hijau dengan syarat-syarat yang dipersetujui melalui sistem bekalan sedia ada.
Fadillah berkata pencapaian ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memacu peralihan tenaga, bukan sahaja dalam Malaysia tetapi di seluruh rantau ASEAN.
“Kita perlu menyedari bahawa tiada satu entiti atau negara boleh mencapai tugas besar ini seorang diri. Perkongsian dan kerjasama yang kukuh merentas sempadan, industri dan sektor adalah penting,” katanya.
Menurutnya, pemboleh utama dalam usaha ini ialah Grid Kuasa ASEAN (APG) yang akan menjadi salah satu fokus utama Malaysia semasa menjadi pengerusi bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) pada 2025.
Beliau berkata APG menawarkan platform kritikal untuk mempercepat penggunaan TBB di seluruh rantau ASEAN, sambil memastikan jaminan tenaga rentas sempadan.
Menurut Fadillah, dengan penyepaduan sumber TBB yang lebih besar merentas grid yang saling berkaitan, APG memperkukuh daya tahan dan jaminan bekalan kuasa untuk semua negara anggota ASEAN.
“Semasa kepengerusian AMEM, Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk menghubungkan dan bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN yang lain ketika kita memulakan peralihan tenaga seterusnya di rantau ini,” katanya.
Enlit Asia 2024 adalah persidangan dan pameran tahunan yang menyatukan dua acara utama dalam sektor kuasa dan tenaga, iaitu Powergen Asia dan Asian Utility Week.
Persidangan itu yang bertemakan "Membolehkan Peralihan Tenaga Pelbagai Dimensi di ASEAN", berlangsung dari 8 hingga 10 Okt.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial