AM

MASIC, Space Scotland Meterai MoU Pupuk Kerjasama Dalam Sektor Angkasa

14/09/2024 12:05 AM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Konsortium Industri Angkasa Malaysia (MASIC) dan Space Scotland memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memupuk kerjasama aktiviti dalam sektor angkasa dengan memanfaatkan kekuatan ekosistem angkasa kedua-dua negara.

Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan MoU itu menggariskan bidang kerjasama utama termasuk perkongsian strategik dan akses pasaran; pertukaran inovasi dan teknologi; kesedaran dan penglibatan awam; pembangunan tenaga kerja dan pendidikan serta amalan angkasa lestari.

“Ini menekankan kerjasama dua hala yang semakin meningkat antara Scotland dan Malaysia dalam industri angkasa global.

“Pemeteraian MoU ini adalah susulan kejayaan misi perdagangan angkasa pertama ke Malaysia anjuran Scottish Development International dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan MIGHT  pada bulan Februari tahun ini semasa program TechnoMart Malaysia-Scotland,” menurut kenyataan itu.

MoU itu ditandatangani oleh Presiden MASIC Datuk Kamarul Redzuan Muhamed dan Ahli Lembaga Pengarah Space Scotland serta utusan rasmi Perdagangan dan Pelaburan Scotland Daniel Smith. 

Ia disaksikan oleh Menteri Perniagaan Scotland Richard Neilson Lochhead, Ketua Pengarah MYSA Azlikamil Napiah dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT (CEO) Rushdi Abdul Rahim.

Selain MoU itu, Kamarul Redzuan yang juga CEO merangkap Pengarah Urusan Kumpulan UZMA Berhad menandatangani Pernyataan Minat dengan Celestia Group yang diwakili CEO kumpulan itu Malachy Devlin bagi terus meneroka projek kerjasama selanjutnya. 

Turut menandatangani Pernyataan Minat pada majlis itu ialah Gading Berhad dan Fire Arrow dari Scotland.

Gading Berhad diwakili oleh CEO syarikat itu Muhamad Nurazmi Abas manakala Fire Arrow diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dr Mick O'Connor. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan