IPOH, 11 Sept (Bernama) -- Guru besar sebuah sekolah di Teluk Intan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuat pembayaran pembelian sebuah piano digital, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Ibrahim Osman turut memerintahkan Rosnah Mat Zain, 57, dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda itu.
Ibrahim dalam penghakimannya berkata tertuduh sebagai seorang penjawat awam perlu berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan.
“Ini baru hukuman di dunia, belum akhirat lagi. Jadi, bertaubat ya,” katanya.
Mengikut pertuduhan pilihan, Rosnah didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu invois Brickwork Resource bertarikh 6 Dis 2021 kepada sekolah berkenaan untuk pembelian piano digital jenama Roland beserta bangku berjumlah RM10,200 dengan dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekolah berkenaan pada 9 Dis 2021 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sharul Azuan Ghazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial