MACHANG, 9 Sept (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengenal pasti lebih 6,000 kawasan berisiko dilanda bencana termasuk banjir, tanah runtuh dan kepala air di seluruh negara pada musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata kriteria jumlah itu dilihat berdasarkan trend tiga tahun yang dikumpulkan maklumatnya oleh jabatan teknikal seperti Jabatan Meteorologi Malaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran, bahawa kawasan berkenaan perlu diberi perhatian.
"Antara negeri yang diberi tumpuan berisiko dilanda bencana pada musim MTL nanti ialah Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Johor dan Kedah.
"Selain itu kita juga akan sertai Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka bulan depan di Johor untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Sempena Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Reben Perkhidmatan serta Kecemerlangan APM Kelantan Tahun 2024 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan Kampus Machang di sini hari ini.
Aminurrahim berkata walaupun belum berlaku peralihan musim MTL, pihaknya mula bertindak lebih awal membuat latihan kesiapsiagaan dan persediaan bagi memastikan tidak ada yang tercicir mendapat bantuan daripada APM atau mana-mana agensi menyelamat yang lain.
"Beberapa siri latihan kecemasan dan persediaan banjir telah diadakan melibatkan lebih 270,000 orang terdiri daripada pemimpin masyarakat dan penduduk kampung yang dilakukan secara berperingkat.
"Kita turut mengadakan perjumpaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) dengan memberi beberapa pendekatan baharu seperti menempatkan pegawai bersekutu untuk menjaga jajahan masing-masing," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial