AM

Isu Sijil Halal: Bincang Dalam Mesyuarat, tidak Perlu Timbul Kontroversi - PM Anwar

08/09/2024 01:11 PM

SEREMBAN, 8 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan pihak yang ada cadangan dan prihatin berkaitan pensijilan halal, supaya membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam  mesyuarat untuk diteliti dan dibincangkan.

Menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan individu tertentu berkaitan pensijilan halal, beliau berkata perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum tidak perlu dijadikan isu sehingga menimbulkan kontroversi.

“Ini pandangan individu, kalau ada cadangan, ada concern, bawa dalam mesyuarat dan kita teliti...tak payah jadi begini menimbulkan kontroversi.

“Peraturan perlu dibuat supaya umat Islam tak rasa was-was. Tapi kalau dia (individu itu) rasakan peraturan itu tidak diperlukan untuk beberapa kawasan tertentu, bincanglah secara elok,” katanya selepas merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lestari Pertama di Lebuhraya Malaysia di R&R Seremban (Arah Selatan) Lebuhraya Utara-Selatan di Seremban hari ini.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya Datuk Seri  Alexander Nanta Linggi dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Seri Hasni Mohammad.

Perdana Menteri berkata perkara berkaitan agama dan keharmonian yang terbina di negara ini perlu terus terpelihara dengan baik.

Beliau berkata negara juga dalam keadaan baik dari aspek ekonomi dan politik serta mendapat penghargaan dunia yang perlu diberikan perhatian demi pembangunan rakyat keseluruhannya.

“Kita kena jaga sentimen orang Islam dan bukan Islam. Cara dia runding cara elok. Bukan nak tunjuk kehebatan masing-masing. Negara kita dalam keadaan baik sekarang, politik stabil dan penghargaan dunia juga baik, kenapa perkara ini nak dirosakkan?,” katanya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilapor mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok kemudian dilapor menyatakan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan seperti itu mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan, termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan