AM

PAM BREK PECAH PUNCA KENDERAAN DINAIKI PELAJAR ORANG ASLI TERLIBAT KEMALANGAN

15/06/2024 10:52 PM

KOTA BHARU, 15 Jun (Bernama) -- Kemalangan yang melibatkan 13 pelajar Orang Asli dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya di sini Khamis lepas, disebabkan oleh pam brek kenderaan pacuan empat roda yang membawa mereka telah pecah.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam kenyataan memaklumkan hal itu menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan lalu terbalik di Bukit Setol, laluan ke Pos Simpor di sini.

"Tindakan pantas pelajar yang melompat keluar dari kenderaan sebelum ia terbalik telah menyelamatkan mereka daripada kecederaan serius.

"Semua pelajar telah menerima rawatan perubatan di Klinik Kesihatan Kuala Betis untuk pemeriksaan lanjut," menurut kenyataan itu hari ini.

JAKOA ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan bantuan segera kepada pelajar yang terlibat.

Dalam kejadian pada 1.37 tengah hari itu, sekumpulan pelajar Orang Asli SMK Panggung Jaya berhadapan detik cemas selepas kenderaan dinaiki terbalik di kawasan hutan ketika dalam perjalanan pulang dari asrama menuju ke Pos Simpor.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan