JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN LELAKI DISYAKI BUNUH IBU KANDUNG

15/06/2024 10:35 PM

GEORGE TOWN, 15 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh ibu kandungnya sendiri dalam insiden di sebuah pangsapuri di Relau di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata suspek, yang berusia 40 tahun dan dipercayai mempunyai masalah mental, ditahan di pangsapuri terbabit selepas polis menerima maklumat berhubung insiden itu daripada abangnya.

Beliau berkata suspek dikatakan menghubungi abangnya pada kira-kira 5 petang dan memaklumkan bahawa dia telah menikam ibu mereka yang berusia 67 tahun dengan gunting.

“Berdasarkan siasatan awal, sebelum kejadian dua anak mangsa telah menghubungi ibu mereka namun panggilan tersebut tidak dijawab... bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan panggilan suspek yang memaklumkan telah menikam ibu mereka menggunakan gunting dan wanita itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Razlam berkata siasatan juga mendapati mangsa hanya datang ke rumah peninggalan suaminya itu tiga hari seminggu iaitu pada Jumaat, Sabtu serta Ahad dan pada hari lain dia tinggal bersama anak sulung di Batu Maung.

Beliau berkata suspek juga mengugut untuk membunuh semua ahli keluarganya sebelum ini dan pernah menerima rawatan psikiatri tahun lepas.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan