EKONOMI

KOPERASI PKNS BERHAD JALIN KERJASAMA STRATEGIK DENGAN TIGA ORGANISASI KORPORAT

14/06/2024 06:36 PM

SHAH ALAM, 14 Jun (Bernama) -- Koperasi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Berhad  menjalin kerjasama strategik dengan tiga organisasi korporat antara lain bagi meneroka dan meluaskan perniagaan antara pihak berkenaan.

Koperasi PKNS Berhad dalam kenyataan hari ini memaklumkan perjanjian kerjasama yang dimeterai pada Sabtu lepas itu melibatkan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Norhendi Design & Build Sdn Bhd dan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

Pada majlis itu, Koperasi PKNS Berhad diwakili Pengerusinya Ishak Hashim, BIMB diwakili Ketua Strategik Perhubungan Perniagaan Norman Awang, Norhendi Design & Build diwakili Pengarah Urusan  Norhendi Suriawan Suriya manakala Dekan Fakulti Siswazah Perniagaan Prof Dr Mohd Haizam Mohd Saudi mewakili UKKM. 

Kenyataan itu menyebut kerjasama itu adalah simbolik kepada usaha berterusan koperasi berkenaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan perkembangan perniagaan selaras dengan hasrat menjadi antara 100 koperasi terbaik di negara ini.

Ishak dalam kenyataan sama berkata kerjasama itu merupakan langkah strategik yang akan memberi manfaat besar kepada ahli koperasi.

Malah beliau yakin dengan kepakaran tiga organisasi korporat yang mahir dalam industri masing-masing, Koperasi PKNS Berhad akan dapat menawarkan produk menarik serta berdaya saing.

Menurut Ishak, objektif utama pemeteraian kerjasama itu adalah bagi memperkukuh dan mengembleng kepakaran serta pengalaman antara kesemua pihak untuk memperkasa ekonomi khususnya untuk ahli koperasi itu.

Usahasama strategik dengan BIMB akan memberi fokus kepada pakej insentif khas kepada koperasi melalui pembukaan akaun Al Awfar oleh ahli yang menawarkan cabutan bertuah dengan nilai lebih RM18 juta.

Manakala Norhendi Design & Build pula menawarkan pakej perkhidmatan hiasan dalaman pada harga lebih berpatutan selain pengukuhan penyelidikan dan pembangunan dalam sektor pendidikan yang akan dipacu UKKM.

Menurut kenyataan itu, Norhendi Suriawan turut menzahirkan rasa teruja atas kerjasama itu yang membolehkan syarikatnya memperluas jangkauan produk dan memenuhi keperluan pasaran koperasi di negara ini dengan lebih baik.

Dengan termeterainya perjanjian ini, Koperasi PKNS Berhad komited untuk memberikan yang terbaik kepada ahlinya di samping membina masa depan lebih cerah untuk sektor koperasi di Malaysia, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan