AM

PROGRAM PENGAJARAN BAHASA INGGERIS: AS SEDIA ADAKAN PERKONGSIAN DENGAN MALAYSIA - DUTA

14/06/2024 01:09 PM

KOTA KINABALU, 14 Jun (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) sentiasa terbuka untuk membincangkan perkongsian dengan Malaysia bagi melaksanakan program pengajaran bahasa Inggeris dan inisiatif lain yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara, kata Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D. Kagan.

Beliau berkata kekukuhan ikatan antara kedua-dua negara selama ini menghasilkan banyak program yang berjaya seperti kursus Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) dan inisiatif pertukaran yang lain.

Bagaimanapun, Kagan menekankan kepentingan untuk benar-benar memahami apa yang diperlukan rakyat dan menentukan perkara yang boleh dilakukan oleh kerajaan serta pihak lain bagi memenuhi keperluan ini dengan berkesan.

Ramai yang membangkitkan mengenai (program pengajaran bahasa Inggeris) ini dengan saya tetapi buat masa ini kami belum mempunyai rancangan lagi. Apa yang kita cuba lakukan memikirkan apa yang rakyat mahu dan apa yang boleh kita lakukan. Kami mempunyai program sedia ada dan pelbagai program pertukaran.

“Kami mempunyai program Inggeris, program perdana seperti ETA tetapi dihentikan akibat COVID-19 atas permintaan kerajaan Malaysia. Kami dapati terdapat minat dalam hal itu, jadi kami akan melihat apa yang boleh kami lakukan.

“Saya fikir kuncinya ialah kita perlu bercakap secara terbuka antara satu sama lain tentang apa yang kita mahu dan apa yang boleh kita lakukan. Apa sahaja yang kita lakukan mestilah perkongsian yang ikhlas,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran American Green Corner di Perpustakaan Negeri di Tanjung Aru malam tadi.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Mohd Arifin berkata Sabah memperoleh banyak manfaat hasil perkongsian AS-Malaysia, khususnya melalui program pengajaran bahasa Inggeris dan berharap kursus ETA dapat dianjurkan semula bagi membantu generasi muda menguasai bahasa itu terutamanya di luar bandar. 

"Ia amat berfaedah untuk anak-anak di Sabah kerana kita mengutamakan pembangunan bahasa Inggeris, sains dan teknologi. Kepakaran mereka sebagai penutur asli bahasa itu boleh membantu dalam usaha ini. Kami mengalu-alukan penglibatan mereka," katanya.

Selain bahasa Inggeris, Mohd Ariffin turut melahirkan harapan AS dapat membantu dalam memupuk minat dan pengetahuan mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda Sabah melalui program perkongsian atau pertukaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan