AM

JALAN RAYA JEJAMBAT ATASI MASALAH PEMBINAAN ATAS TANAH GAMBUT DI SARAWAK

13/06/2024 09:26 PM

KOTA SAMARAHAN, 13 Jun (Bernama) -- Pembinaan jalan raya jejambat dilaksanakan bagi mengatasi masalah pembinaan di atas tanah gambut di Sarawak.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kaedah pembinaan itu sedang dilaksanakan dalam Pakej 11 Projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di kawasan Lambir di Miri, utara Sarawak.

“Cara biasa apabila (jalan raya) dibina ada masalah keretakan, sekarang kita tukar kepada menggunakan jejambat kerana tanah tidak stabil dan kita membelanjakan RM60 juta (untuk melaksanakannya),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Fasa Satu Projek Pusat Kesihatan Prima Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini hari ini.

Nanta berkata dengan pengalaman dimiliki Jabatan Kerja Raya, jabatan itu mampu menetapkan kaedah paling sesuai bagi mengatasi masalah pembinaan jalan raya yang dihadapi di negara ini.

Menurutnya pembinaan jejambat itu diakui sebagai kaedah yang sesuai untuk pembinaan jalan raya di atas tanah gambut dan mampu mengurangkan kos penyelenggaraan setelah disiapkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan