AM

AKM SASAR LATIH 300,000 BELIA MENERUSI MODUL LATIHAN KENEGARAAN MALAYSIA MADANI

13/06/2024 06:20 PM

MELAKA, 13 Jun (Bernama) -- Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) menyasar melatih 300,000 belia di negara ini menerusi Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI ke arah pembinaan negara bangsa, dalam tempoh setahun akan datang.

Ketua Pengarah AKM Mohd Haswandi Ahmad berkata dalam tempoh berkenaan juga hampir 500 program, kursus atau latihan telah dirangka untuk golongan belia meliputi pelbagai peringkat umur, latar belakang dan kaum dari institusi seperti sekolah, institusi pengajian tinggi serta pertubuhan belia.

Beliau berkata tiga elemen penting yang diberi penekanan menerusi modul latihan berkenaan ialah sejarah kenegaraan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan ideologi Rukun Negara.

"Di AKM, memang ada bahagian khusus yang mengendalikan program, kursus atau latihan melibatkan golongan belia sahaja dan mereka akan diberi latihan atau kursus jangka pendek antara tiga hingga 14 hari secara bersemuka atau dalam talian seperti seminar dan sebagainya dengan memfokuskan tiga elemen berkenaan.

"Tiga eleman penting itu perlu dihadam dan difahami dalam membentuk pembinaan negara bangsa dan usaha ini (pembinaan negara bangsa) tidak boleh berhenti dalam usaha membina masyarakat bersatu padu, bertoleransi dan menerima antara satu sama lain," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Skuad Kepimpinan Anak Melaka MADANI (KAMI) World Youth Foundation (WYF) yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka yang juga Presiden WYF Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri Pengerusi WYF Datuk Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Mohd Haswandi berkata secara keseluruhan, AKM telah merangka lebih 800 program sepanjang tahun ini untuk semua golongan sasar dalam usaha ke arah pembinaan negara bangsa yang menyeluruh.

Terdahulu, beliau berkata AKM bekerjasama dengan WYF untuk melancarkan Skuad KAMI melibatkan 400 peserta dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta pemimpin badan bukan kerajaan di negeri ini.

"Skuad KAMI dilancarkan bagi melaksanakan program sukarelawan belia yang memperkasakan masyarakat dan kerjasama ini merupakan langkah positif dalam memperluas ruang lingkup kerja-kerja sukarelawan di peringkat antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan