EKONOMI

Th Plantations, Cenergi Jalin Kerjasama Bangunkan Loji Janakuasa Biogas Di Johor

13/06/2024 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- TH Plantations Bhd (THP) hari ini memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Cenergi SEA Bhd, anak syarikat UEM Lestra Bhd untuk membangunkan loji janakuasa biogas 1.2-megawatt (MW) pertama bernilai kira-kira RM12 juta di Kluang, Johor.

Loji janakuasa yang terletak di Kilang Sawit Bukit Lawiang di Kluang itu akan menghasilkan tenaga elektrik menggunakan tenaga boleh baharu biogas daripada efluen kilang kelapa sawit (POME) dan dijangka beroperasi pada 2026, kata THP.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) THP Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata kerjasama itu akan dilaksanakan melalui usaha sama antara unit THP, THP Applications and Services Sdn Bhd, dan Cenergi RE Sdn Bhd.

Sebuah syarikat tujuan khas, Cenergi Lawiang Sdn Bhd, akan dibentuk menerusi kerjasama itu dengan Cenergi memegang 60 peratus kepentingan dan THP sebanyak 40 peratus.

“Apabila beroperasi, tenaga elektrik yang dijana daripada loji janakuasa biogas ini akan dijual kepada grid nasional yang diuruskan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah skim tarif galakan SEDA (Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari).

“Penubuhan loji biogas ini melambangkan dedikasi kami untuk memanfaatkan sumber tenaga boleh baharu dan mengurangkan jejak karbon serta komitmen serius kami ke arah operasi yang lebih hijau dan bersih,” katanya semasa majlis menandatangani perjanjian itu di sini hari ini.

Menurut Mohamed Zainurin, projek itu adalah satu daripada strategi THP dalam mengoptimumkan rawatan POME dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, sejajar dengan pelan perniagaan strategik lima tahunnya, dikenali sebagai “Al-Falah 22/22” THP.

Sementara itu, CEO Kumpulan Cenergi Hairol Azizi Tajudin berkata menerusi kerjasama itu, Cenergi akan menawarkan kepakaran dan perkhidmatannya untuk menyokong THP dengan perjalanan kemampanannya, khususnya dalam mengurangkan pelepasan karbon dan perjalanan tenaga boleh baharu (RE).

“Projek biogas Lawiang 1.2MW ini boleh menjana kuasa sehingga 1,500 rumah dan mengelakkan kira-kira 20,000 pelepasan karbon setiap tahun, yang bersamaan dengan hampir 5,000 kereta yang dipandu dalam setahun.

“Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, kami juga terbuka untuk meneroka bidang lain dalam teknologi RE dengan THP, bukan sahaja dalam biogas tetapi juga dalam bidang seperti pelet biojisim dan solar,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan