AM

TERUSKAN PENYASARAN SUBSIDI BAHAN API, EKONOMI NEGARA LEBIH BERDAYA TAHAN - CAP

12/06/2024 04:45 PM

GEORGE TOWN, 12 Jun (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta kerajaan untuk meneruskan langkah penyasaran subsidi bahan api dan tiada keperluan untuk membuat 'pusingan U' berikutan tekanan daripada pihak berkepentingan mahupun kumpulan politik.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata pemimpin kerajaan mesti bertindak tegas dalam melaksanakan dasar yang dianggap tidak popular tetapi dalam jangka panjang akan menjadikan ekonomi negara lebih berdaya tahan untuk memberikan manfaat kepada rakyat serta negara.

"Bermula dengan subsidi bersasar bagi bahan api diesel adalah satu langkah yang tepat. Subsidi mestilah bagi mereka yang memerlukan dan bukan bagi semua orang tanpa mengira status ekonomi mereka.

"Dengan melaksanakan dasar rasionalisasi ini, kerajaan akan mempunyai RM4 bilion (manakala) dianggarkan RM8 bilion oleh seorang pakar ekonomi, yang boleh digunakan untuk pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pelaksanaan dasar tersebut perlu dipantau rapi bagi memastikan tiada ketirisan dan penyelewengan sementara subsidi itu diberikan kepada individu, kumpulan dan perniagaan yang disasarkan.

Mohideen turut meminta agar sebarang kelemahan dalam pelaksanaan itu diatasi dengan segera dan diperbetulkan selain diadakan satu meja khusus di kementerian yang berkaitan untuk memantau pelaksanaan sekali gus menangani masalah serta aduan daripada pihak yang terjejas.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga perlu memantau harga barangan dan perkhidmatan yang dijual kepada orang ramai bagi mengelak pencatutan oleh peniaga tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada pemansuhan subsidi diesel.

Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan pengalaman yang diperoleh daripada pelaksanaan penghapusan subsidi diesel, langkah seterusnya adalah rasionalisasi subsidi petrol yang akan menghasilkan penjimatan yang lebih besar kepada kerajaan dengan kumpulan rentan terjejas diberi bantuan kewangan.

"Dalam belanjawan 2024, subsidi bahan api termasuk diesel berjumlah RM60 bilion setahun, iaitu 1.5 kali ganda jumlah yang diperuntukkan bagi penjagaan kesihatan, iaitu sekitar RM40 bilion dan sebuah hospital moden dengan 1,000 katil berharga antara RM1.3 hingga RM1.4 bilion.

"Bayangkan apa yang boleh kita lakukan dengan penjimatan daripada pemansuhan subsidi ini, iaitu lebih banyak hospital yang lengkap dengan alat-alat moden dan penjagaan kesihatan yang jauh lebih baik," katanya.

Ahad lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik bermula 10 Jun 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan