POLITIK

PRK DUN SUNGAI BAKAP : BN HORMAT KERUSI PKR

07/06/2024 04:20 PM

SERDANG, 7 Jun (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) menghormati kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang sebelum ini dikuasai PKR, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Justeru beliau berkata tidak timbul lagi soal siapa calon dari BN yang akan diletakkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu, sebaliknya parti itu akan memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada sesiapa sahaja yang dipilih mewakili Kerajaan MADANI sebagai calon.

“Kita hormat tradisi itu, tetapi yang penting ialah semangat kebersamaan yang kita bincang bersama dan telah dipersetujui akan calon dan akan diumumkan secara rasmi oleh pimpinan kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Blueprint Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Julai ini dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 22 Jun (Sabtu) dan 2 Julai (Selasa).

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan