AM

KPDN SERAH KEPADA KPKM TELITI SEMULA PENYASARAN SUBSIDI DIESEL LIBAT PETANI

07/06/2024 02:54 PM

KOTA BHARU, 7 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerahkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk meneliti semula penyasaran subsidi diesel yang melibatkan petani.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata hal ini kerana KPKM perlu meneliti maklumat yang dikemukakan dan membawa syor kepada jawatankuasa rayuan untuk diputuskan secara bersama dengan kementerian-kementerian yang terlibat.

"Kita (KPDN) mengambil maklum sebelum ini terdapat rayuan pekebun sayur di Cameron Highlands (Pahang) bahawa perkara yang dibangkitkan itu datang daripada komuniti pertanian, maka kita maklumkan kepada KPKM supaya mengambil tindakan susulan, mendapat maklumat dan mengemukakan syor kepada jawatankuasa rayuan yang telah diwujudkan secara bersama dengan kementerian terlibat.

"Hal ini sangat penting untuk kita buka rayuan kepada mana-mana pihak termasuk mereka (petani) dan KPKM akan mengadakan perjumpaan dengan mereka segera untuk dapatkan maklumat tambahan mengenai bantuan yang diperlukan sama ada melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) atau bantuan tunai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ops Kesan 2.0 Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel di sini hari ini,

Sebelum ini, petani di Cameron Highlands melahirkan rasa bimbang dengan Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI kerana tidak semua dalam kalangan mereka akan mendapat manfaat itu disebabkan tidak mempunyai syarikat berdaftar untuk mendapat subsidi berkenaan.

Kementerian Kewangan memaklumkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi daripada golongan B40 dan M40 di Semenanjung, layak memohon bagi sumbangan tunai kerajaan melalui BUDI MADANI, mulai 28 Mei.

BUDI MADANI adalah usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak meliputi bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) serta syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan