AM

AGODA: PENINGKATAN 20 PERATUS CARIAN OLEH PENGEMBARA MALAYSIA KE ASIA TENGGARA

07/06/2024 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Platform pelancongan digital Agoda mendedahkan peningkatan 20 peratus carian untuk perjalanan dari Malaysia ke destinasi Asia Tenggara berbanding tempoh sama tahun lepas.

Berdasarkan carian penginapan Agoda, Thailand merupakan pilihan utama pengembara Malaysia di Asia Tenggara diikuti Kemboja, Singapura, Myanmar, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Laos.

Agoda dalam kenyataan berkata tinjauan terbaharunya mendapati pengembara Malaysia bukan sahaja berminat untuk menerokai destinasi baharu tetapi juga semakin prihatin terhadap pilihan perjalanan mereka.

Menurut tinjauan itu, 81 peratus pengembara Malaysia mengambil berat tentang perjalanan lebih lestari iaitu responden mengenal pasti insentif kewangan, ketersediaan pakej perjalanan lestari dan panduan yang lebih jelas mengenai amalan perjalanan lestari, sebagai faktor utama yang boleh menggalakkan mereka membuat pilihan lebih mampan.

"Apabila ditanya mengenai amalan perjalanan lestari yang akan mereka utamakan, sebanyak 26 peratus pengembara Malaysia memilih menyokong komuniti tempatan dan projek pemuliharaan, memilih pakej perjalanan lebih lestari yang mempromosikan aktiviti berfokuskan pemuliharaan (24 peratus) dan memilih penginapan dengan pensijilan kelestarian (19 peratus) merupakan keutamaan mereka."

"Pengembara prihatin dari Malaysia juga boleh meninjau program Eco Deals Agoda yang bukan sahaja memberikan penjimatan sehingga 15 peratus pada penginapan, tetapi juga menyumbang kembali kepada komuniti setempat di Asia Tenggara. Untuk setiap tempahan menerusi Eco Deals Agoda, satu dolar akan didermakan kepada Tabung Alam Sedunia,” menurut kenyataan itu.

Naib Presiden Agoda Enric Casals dalam kenyataan sama berkata pengembara dari Malaysia kini semakin berminat untuk melancong di luar negara dan program Eco Deals ialah peluang yang baik untuk mereka, bukan sahaja meraih pengalaman baharu, malah menyumbang secara positif kepada tempat yang dikunjungi.

"Terdapat sekitar empat ribu hartanah yang menyertai program ini di Asia Tenggara, justeru pasti ada penginapan Eco Deals yang ideal untuk setiap pengembara Malaysia," kata Enric.

Pengembara Malaysia yang berhasrat untuk meneroka Asia Tenggara dengan tawaran hebat sambil memberi impak positif, mereka boleh mula merancang perjalanan dengan melawat www.agoda.com/ecodeals.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan