KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Hasrat Pearly Tan-M Thinaah muncul beregu wanita pertama meraih gelaran Terbuka Jepun tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan utama dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China pada aksi final hari ini.
Aksi akhir kejohanan Super 750 berlangsung di Gimnasium Tokyo Metropolitan itu menyaksikan kedua-dua pasangan saling mengejar mata hingga terikat pada kedudukan 6-6.
Bagaimanapun, pilihan utama dari China itu membuktikan kehebatan mereka sekali gus menguasai set pertama dengan kemenangan 21-5.
Set kedua menyaksikan gandingan Sheng Shu-Tan Ning terus garang dengan berada di hadapan 4-0 sebelum menamatkan tempoh 45 minit perlawanan dengan kemenangan 21-14.
Ini merupakan kekalahan ke-12 pasangan negara kepada wakil China itu.
Selaku naib juara Pearly-Thinaah membawa pulang wang kemenangan USD33,250 (RM141,000) manakala juara pula USD70,300 (kira-kira RM298,000).
Gandingan ketiga dunia menyamai pencapaian legenda badminton negara Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, yang muncul naib juara dalam edisi 2008.
Sementara itu dalam kenyataan dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Thinaah berkata mereka gagal mengekalkan rentak akibat tekanan hebat daripada Sheng Shu-Tan Ning.
“Ini bukan permainan yang kami mahukan. Kami akan ambil iktibar daripada kekalahan ini, fokus semula dan bersedia untuk minggu hadapan,” katanya.
Pearly-Thinaah akan meneruskan aksi mereka musim ini di Terbuka China dan selaku pilihan ketiga, pasangan negara dijadual berdepan rakan senegara Ong Xin Yee-Carmen Ting di Olympic Sports Centre Gymnasium, Changzhou pada 22 hingga 27 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial