AM

Sebahagian e-Gate Di BSI, KSAB Kembali Berfungsi, Usaha Pemulihan Giat Dilakukan - Exco Johor

19/07/2025 09:32 PM

JOHOR BAHRU, 19 Julai (Bernama) -- Gangguan sistem e-gate bagi laluan keluar dan masuk yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) sejak semalam sedang giat dipulihkan pihak berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata setakat 6 petang tadi, sebanyak 26 daripada 68 unit e-gate di BSI, di sini dan tiga daripada 12 e-gate di KSAB, Iskandar Puteri telah kembali berfungsi seperti biasa.

"Keadaan kesesakan di kedua-dua CIQ itu juga terkawal berdasarkan pemantauan yang dibuat petang tadi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kaunter manual dibuka bagi melancarkan aliran keluar masuk selepas gangguan itu yang dianggarkan berlaku kira-kira 1 tengah hari semalam.

"Isu gangguan e-gate ini melibatkan seluruh negara dan (di BSI dan KSAB), ia sedang diselesaikan pihak berkaitan," katanya.

Mohamad Fazli berkata pihak berkaitan juga melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kelancaran di kedua-dua CIQ berkenaan.

Isu gangguan sistem pagar automatik untuk pelawat asing di pintu-pintu masuk utama negara sejak semalam dilaporkan berpunca daripada gangguan integrasi data yang menyebabkan proses semakan silang dalam sistem MyIMMS menjadi perlahan.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dipetik berkata gangguan itu menyebabkan kesesakan dan barisan menunggu yang panjang di beberapa lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 serta CIQ BSI dan KSAB.

Agensi itu turut memaklumkan bahawa gangguan sistem berkenaan tidak menjejaskan pemegang pasport Malaysia dan ia masih berfungsi seperti biasa, sekali gus menjelaskan langkah segera telah diambil dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia bagi menangani isu berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan