JENAYAH & MAHKAMAH

Suri Rumah Rugi Lebih RM150,000 Diperdaya Sindiket Tawaran Kerja Tidak Wujud

19/05/2025 10:57 AM

KUALA TERENGGANU, 19 Mei (Bernama) -- Seorang suri rumah kerugian RM158,498.89 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja tidak wujud secara dalam talian, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata wanita berumur 30 tahun itu pada mulanya tertarik dengan iklan tawaran kerja membuat tempahan bilik hotel itu di laman sosial pada 9 Mei, dan dijanjikan komisen 10 peratus daripada modal dikeluarkan.

Beliau berkata tugasan itu kononnya untuk menaikkan rating hotel, dengan wanita itu dikehendaki menekan pautan diberikan bagi memilih bilik hotel dan menghantar gambar serta bukti pembayaran setelah selesai tugasan.

“Wanita itu yang teruja kerana menerima komisen tugasan pertama, telah membuat tugasan lain melibatkan pembayaran RM158,498.89 secara berperingkat ke sembilan akaun bank,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azli berkata suri rumah yang menggunakan wang modal perniagaan bapanya berasa panik apabila tidak menerima komisen dijanjikan, selain gagal menghubungi suspek.

Beliau berkata wanita itu kemudiannya membuat laporan polis pada 11.42 pagi semalam, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan