JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Rampas Pelbagai Tumbuhan Hiasan Seludup Bernilai RM2.52 Juta

11/11/2024 12:59 PM

KOTA BHARU, 11 Nov (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis tumbuhan hiasan dipercayai diseludup dari Thailand yang bernilai kira-kira RM2.52 juta dalam Operasi Taring Wawasan di Pasir Mas dan Rantau Panjang Sabtu lepas.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata rampasan pertama membabitkan pelbagai pokok orkid dan nanas hiasan Bromeliad dianggarkan berharga RM2.01 juta selepas menahan sebuah lori di Kampung Lubok Stol, Pasir Mas.

“Lori itu dipandu lelaki tempatan berumur 36 tahun dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan pada 9.45 malam mendapati kesemua tanaman hiasan berkenaan bagi pasaran tempatan dibawa tanpa dokumen yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata PGA turut menumpaskan kegiatan penyeludupan pokok hiasan jenis Citharexylum Spinosum dan Juniperus Chinensis selepas menahan sebuah lori dipandu lelaki tempatan berumur 32 tahun yang dalam keadaan mencurigakan di Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai jenis pokok hiasan dianggarkan bernilai RM510,000 dibawa tanpa dokumen yang sah untuk pasaran tempatan,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) manakala kesemua barang rampasan dan suspek dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.

 Beliau berkata PGA akan terus mempergiat usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan