KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Ketua Jurulatih Kebangsaan Peter Cklamovski memuji semangat berpasukan anak buahnya selepas menundukkan Laos 5-1 dalam aksi keempat Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.
Beliau berkata walaupun memberikan gol pendahuluan kepada Laos pada babak pertama, namun para pemain telah mempamer kebangkitan menerusi kepelbagaian penyudahan yang sempurna.
"Ia satu cabaran yang baik, saya beri pujian kepada para pemain. Terus fokus dan percaya dengan corak permainan kita.
“Separuh masa pertama sedikit tumpul dengan pemain Laos pula terus berusaha,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu, jurulatih Laos Ha Hyeokjun mengakui kualiti dimiliki skuad Harimau Malaya selain menyifatkan pasukan lawan lebih baik daripada pelbagai sudut.
“Kami bermain mengikut perancangan pada separuh masa pertama, tetapi hilang fokus pada babak kedua sehingga akhirnya tewas 5-1.
“Saya percaya para pemain telah menunjukkan peningkatan sepanjang perlawanan, namun berbanding Malaysia, mereka memiliki liga yang lebih berkualiti,” katanya.
Pada aksi di hadapan lebih 18,000 penonton malam ini, Malaysia menampilkan kebangkitan bergaya pada separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan 5-1 ke atas Laos pada perlawanan keempat Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Kemenangan ke atas Laos menyaksikan pasukan negara mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan untuk mendahului saingan kumpulan dengan mengumpul 12 mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (sembilan mata), Laos ketiga (tiga mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.
Selepas ini, Malaysia dijadual bertemu Nepal pada 18 Nov dan akan menamatkan saingan kumpulan menentang Vietnam di Hanoi pada Mac tahun depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial