AM

Sidang Dewan Rakyat Bermula Isnin, Pembentangan RMK-13 Pada 31 Julai

19/07/2025 11:15 AM

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) menjadi tumpuan utama pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 yang membuka tirai Isnin ini hingga 28 Ogos.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata pembentangan RMK-13 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual berlangsung di minggu kedua persidangan Dewan Rakyat iaitu pada 31 Julai.

RMK-13 yang menetapkan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030, adalah dokumen pertama digarap oleh Kerajaan MADANI di bawah pentadbiran Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Anwar sebelum ini berkata RMK-13 dirangka dengan fokus kepada pemerkasaan ekonomi rakyat melalui peningkatan pendapatan, pembaharuan struktur ekonomi yang inklusif dan mampan, serta pengukuhan tadbir urus dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Selain itu, ia turut menekankan keadilan wilayah, pembangunan modal insan serta reformasi dasar bagi memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global seiring prinsip Malaysia MADANI.

Sehubungan dengan itu, Johari berkata persidangan Dewan Rakyat kali ini akan memberikan tempoh perbahasan sewajarnya kepada Ahli Parlimen bagi membincangkan kandungan RMK-13, sambil menyeru semua wakil rakyat untuk bersikap profesional dan memanfaatkan ruang perbahasan sebaiknya.

"Kita mahu supaya (sesi) perbahasan itu lebih substantif dan Ahli Parlimen jangan terlalu mempolitikkan keadaan hingga kita terbabas jauh.

"Ahli Parlimen perlu kekal fokus kepada isu yang kita bincangkan... bagaimana (mereka) boleh bantu kerajaan dengan mencadangkan perkara yang mungkin terlepas pandang oleh kerajaan, itu peranan kita," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan RMK-13 berlangsung selama lapan hari bermula 4 Ogos, sebelum jawapan oleh menteri-menteri selama empat hari bermula 18 Ogos.

Persidangan kali ini juga dijangka berlangsung lebih rancak dengan perbahasan dasar yang menyeluruh, memandangkan ia adalah mesyuarat utama sebelum tumpuan beralih kepada pembentangan Belanjawan 2026 pada sesi mesyuarat Oktober nanti.

Selain pembentangan RMK-13, Johari berkata sidang kali ini dijangka turut menyaksikan pembentangan dan perbahasan beberapa rang undang-undang penting melibatkan aspek reformasi institusi, tadbir urus kerajaan, perkhidmatan awam serta isu berkaitan kebajikan rakyat.

Selaras dengan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA) yang telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, beliau berkata usaha serta langkah reformasi Parlimen juga terus dilaksana dan diperkemas, terutamanya dalam memperkukuh peranan setiap Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Penyertaan Jawatankuasa Pilihan Khas perlu diperluaskan kerana peranannya cukup hebat dengan ahlinya adalah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dengan pengalaman, kelayakan dan ada pengaruh yang hebat.

“Bila berbincang satu isu dalam Jawatankuasa Pilihan Khas, kita melihat bahawa ia bukan berpihak kepada kerajaan ataupun pembangkang, sebaliknya keputusan dibuat itu mewakili rakyat semuanya,” katanya.

Mengulas berhubung kedudukan Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dalam Dewan Rakyat susulan perletakan jawatan mereka dalam Kabinet, Johari berkata kedua-dua pemimpin itu akan dipindahkan ke kawasan penyokong atau backbenchers kerajaan.

Beliau berkata menjadi amalan biasa bagi mana-mana Ahli Parlimen yang bukan lagi menjadi anggota pentadbiran atau Kabinet akan berpindah tempat duduk ke kawasan backbenchers.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan