JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Selangor Tahan Vesel Nelayan Tempatan Dikendalikan Warga Asing

18/10/2025 08:57 PM

SHAH ALAM, 18 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C dikendalikan empat warga asing selepas disyaki melanggar syarat sah lesen di sekitar perairan Sekinchan dekat sini petang semalam.

Pengarah Maritim Selangor Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata tangkapan dilakukan pada 6.50 petang oleh Kapal Maritim yang sedang menjalankan rondaan rutin sekitar 15.5 batu nautika barat daya Sekinchan.

“Pemeriksaan awal mendapati vesel terbabit dikendalikan seorang tekong, bersama tiga awak-awak. Kesemuanya warga Myanmar berusia lingkungan 24 hingga 35 tahun.

“Mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan tidak memiliki permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas vesel itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati vesel berkenaan melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985, termasuk penggunaan mata pukat kurang 38 milimeter yang dilarang dalam operasi penangkapan ikan.

Abdul Muhaimin berkata pihaknya juga merampas kira-kira 300 kilogram (kg) ikan campur yang dipercayai hasil tangkapan aktiviti menyalahi undang-undang, dengan kesemua suspek bersama vesel dan hasil rampasan telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut dua akta utama iaitu Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat lesen serta tiada dokumen pengenalan diri,” jelasnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan