DUNIA

Lebih 150 False Killer Whale Terdampar Di Pantai Australia

19/02/2025 06:21 PM

SYDNEY, 19 Feb (Bernama-dpa) -- Lebih 150 false killer whales ditemukan terdampar di sebuah pantai di Australia pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik pihak berkuasa tempatan.

Jabatan Sumber Semula Jadi dan Alam Sekitar Tasmania memaklumkan bahawa daripada 157 yang terdampar di kawasan barat laut pulau itu, 90 daripadanya masih hidup.

False killer whale atau nama saintifiknya pseudorca crassidens ialah spesies dalam keluarga ikan lumba-lumba (Delphinidae) yang boleh mencapai berat antara 500 kilogram hingga tiga tan serta panjang sehingga enam meter.

Pegawai Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar Tasmania, Brendon Clark berkata bahawa ini merupakan insiden pertama membabitkan spesis ikan terbabit dalam tempoh kira-kira 50 tahun.

“Kebanyakan kejadian yang hampir serupa biasanya melibatkan ikan paus pandu (pilot whale).

“Ketika ini, kami masih belum mengetahui punca kejadian,” katanya.

Pasukan hidupan liar berada di lokasi bagi menilai keadaan haiwan serta kemungkinan usaha menyelamat.

"Bagaimanapun, penilaian awal menunjukkan usaha untuk mengapungkan semula ikan berkenaan berdepan kesukaran berikutan lokasi yang sukar diakses, keadaan lautan serta cabaran membawa peralatan khas ke kawasan terpencil ini," jelas Clark.

Insiden terakhir ikan false killer whales terdampar secara besar-besaran di Tasmania berlaku pada Jun 1974, membabitkan antara 160 hingga 170 ekor, katanya.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan