DUNIA

Malaysia, Singapura Meterai Mou Kerjasama Cegah & Tangani Jenayah Rentas Sempadan

14/11/2024 07:20 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 14 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Singapura menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Khamis untuk memperhebat usaha membanteras jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah dan jenayah siber.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan MoU Mengenai Kerjasama Dalam Mencegah dan Menangani Jenayah Rentas Sempadan itu ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura K. Shanmugam, di sini.

Saifuddin Nasution dilaporkan berkata kepada Bernama pada Rabu bahawa MoU itu memperbaharui kerjasama rentas sempadan sedia ada antara kedua-dua negara, dengan menambah elemen jenayah siber, sesuai dengan trend semasa.

Menurut KDN, pertemuan antara dua menteri turut membincangkan kepentingan kerjasama keselamatan dua hala yang menyeluruh antara Malaysia dan Singapura, khususnya dalam aspek pengurusan jenayah rentas sempadan serta bidang keimigresenan dan kepolisan.

Sementara itu, Saifuddin Nasution bersama delegasi Malaysia turut menerima taklimat daripada Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura serta mengadakan lawatan ke Pusat Pemeriksaan Woodlands.

“Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan berkenaan sistem kawalan sempadan Singapura, khususnya melalui penggunaan teknologi terkini bagi menguruskan aliran lalu lintas rentas sempadan dengan lebih cekap dan teratur,” menurut kenyataan itu.

Seluruh delegasi Malaysia turut melawat ke Pusat Antipenipuan (ASC) Singapura dan Interpol Cybercrime Directorate untuk memahami pendekatan serta teknologi yang dimanfaatkan dalam usaha membanteras aktiviti penipuan dalam talian.

Terdahulu, Saifuddin Nasution yang tiba di republik ini pada Rabu sempat meluangkan masa bersama diaspora Malaysia dalam satu sesi ramah mesra dan makan malam.

Turut serta dalam lawatan ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN Datuk Makhzan Mahyuddin.

Delegasi dijadual pulang ke Malaysia pada Khamis.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan