JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Johor Komited Perluas Program GTSP, Tingkatkan Keselamatan Komuniti

16/10/2025 05:58 PM

JOHOR BAHRU, 16 Okt (Bernama) -- Polis Johor akan memperluas pelaksanaan program Go To Safety Point (GTSP) ke semua daerah di negeri berkenaan menjelang tahun hadapan, sebagai langkah memperkukuh keselamatan komuniti dan memudahkan akses kepada bantuan kecemasan.

Timbalan Ketua Polis Johor DCP Abdul Latiff Mehat berkata usaha itu menyasarkan setiap kawasan perumahan, pekan dan lokasi tumpuan awam mempunyai beberapa lokasi GTSP aktif dalam membentuk ekosistem keselamatan berasaskan komuniti yang lebih mampan.

Beliau berkata pelaksanaan program itu bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama antara polis dan masyarakat, malah memperluas akses kepada bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan atau ancaman jenayah.

“Program GTSP memberi ruang kepada orang awam untuk mendapatkan perlindungan, bantuan atau sokongan segera apabila berdepan sebarang bentuk kecemasan atau insiden jenayah.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang telah menyertai GTSP sama ada daripada sektor korporat, perniagaan tempatan mahupun badan sukarela,” katanya ketika berucap mewakili Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad pada Program GTSP Peringkat Negeri Johor di Petron Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Abdul Latiff berkata program itu bukan sahaja memupuk budaya keselamatan dalam kalangan komuniti, malah berpotensi menyelamatkan nyawa dan mencegah jenayah sebelum berlaku menerusi tindak balas pantas pihak terlibat.

Beliau berkata peluasan GTSP di seluruh negeri juga akan diselaraskan dengan agensi swasta dan pengusaha tempatan bagi memastikan penyertaan lebih meluas serta keberkesanan jangka panjang program berkenaan.

Sementara itu, Ketua Perniagaan Runcit Petron Shaliza Mohd Sidek berkata pelaksanaan GTSP bukan sahaja memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan komuniti, malah mengangkat stesen Petron sebagai tempat dipercayai untuk mendapatkan bantuan awal semasa kecemasan.

“Kami juga telah melangkah setapak lebih jauh dalam memastikan perjalanan lebih selamat dengan pemasangan unit defibrilator luaran automatik (AED) di beberapa stesen Petron di lebuh raya bagi membantu kecemasan perubatan, sebagai sebahagian daripada inisiatif GTSP yang akan diperluaskan ke lebih banyak lokasi menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Program hari ini turut menampilkan simulasi kejadian ragut dan kemalangan motosikal bagi memperkukuh kefahaman komuniti terhadap prosedur keselamatan serta kecemasan menerusi GTSP.

GTSP adalah inisiatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertujuan menyediakan lokasi-lokasi ‘titik selamat’ bagi membolehkan orang awam mendapatkan bantuan segera sekiranya mereka berada dalam situasi kecemasan atau memerlukan pertolongan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan