KUANTAN, 29 April (Bernama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa pihak Zoo Taiping & Night Safari mengambil tindakan segera membawa pulang tiga gajah Malaysia, iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.
Wan Rosdy berkata ketiga-tiga gajah itu wajar dibawa pulang dan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Temerloh yang disifatkan lebih sesuai dengan habitat serta keperluan semula jadi haiwan berkenaan.
Beliau berkata pusat konservasi itu mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, khususnya dari aspek interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi haiwan.
“Kita bertanggungjawab memastikan setiap khazanah negara dipelihara dengan sebaiknya dan dalam isu ini, tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata isu melibatkan ketiga-tiga mamalia berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia adalah sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara yang wajar dipelihara dengan sebaiknya.
“Berdasarkan gesaan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia mengenai keadaan mamalia itu di sana, saya berpandangan perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Terdahulu, Arthur dilaporkan berkata cadangan pelbagai pihak termasuk NGO untuk membawa pulang tiga gajah negara bernama Dara, Amoi dan Kelat wajar dipertimbangkan secara serius.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial