JENAYAH & MAHKAMAH

MCMC Pulih 14 Menara Komunikasi Terjejas Akibat Vandalisme Di Kuala Pilah

14/04/2026 07:25 PM

SEREMBAN, 14 April (Bernama) -- Sebanyak 14 menara komunikasi yang terjejas akibat aktiviti vandalisme dan kecurian di Bukit Pilah, Kuala Pilah dipulihkan sepenuhnya, sekali gus mengembalikan perkhidmatan telekomunikasi kepada pengguna di kawasan terlibat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan gangguan itu berpunca daripada kes kecurian beberapa peralatan dari sebuah menara telekomunikasi milik CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) sehingga mengganggu perkhidmatan 2G dan 4G.

Menurut MCMC, insiden itu turut memberi kesan kepada 13 menara komunikasi lain di kawasan berhampiran sehingga lebih 1,668 pengguna daripada pelbagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi terganggu.

“MCMC telah mengadakan lawatan tapak ke lokasi terjejas bersama CelcomDigi dan mendapati beberapa peralatan komunikasi termasuk peralatan seperti Radio Transport System (RTS) dan Baseband Unit (BBU) dicuri. 

“Kejadian ini mengakibatkan gangguan perkhidmatan di kawasan berhampiran dan menjejaskan operasi menara komunikasi lain. Pihak CelcomDigi melaksanakan kerja pemulihan dengan mengaktifkan semula menara komunikasi yang terjejas secara berperingkat,” menurut kenyataan itu hari ini.

MCMC turut menyeru orang awam untuk memainkan peranan dengan melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia atau mana-mana pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar menara komunikasi.

MCMC juga tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan infrastruktur komunikasi dan perbuatan vandalisme terhadap kemudahan telekomunikasi adalah kesalahan serius di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan