DUNIA

Korea Selatan: Presiden Lee Arah Perisytiharan Segera Zon Bencana Khas

20/07/2025 05:10 PM

SEOUL, 20 Julai (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung pada Ahad mengarahkan kerajaan untuk mencari jalan bagi mengisytiharkan dengan segera kawasan yang terjejas teruk akibat hujan lebat baru-baru ini sebagai zon bencana khas, lapor Agensi Berita Yonhap yang memetik jurucakapnya.

Lee juga menyeru agar tinjauan pantas dilakukan terhadap skala kerosakan akibat hujan dan tanah runtuh yang mula melanda negara itu sejak Rabu lalu, kata Kang Yu-jung dalam satu kenyataan kepada media.

Zon bencana khas berhak menerima bantuan kerajaan bagi kerja pemulihan kerosakan dan bantuan kepada mangsa terjejas.

Setakat 11 pagi, seramai 14 orang disahkan maut manakala 12 yang lain masih hilang akibat hujan lebat, menurut kerajaan dan Agensi Bomba Kebangsaan.

Kerajaan turut menubuhkan pasukan sokongan pemulihan antara agensi pada awal hari Ahad.

“Kementerian Dalam Negeri, kementerian lain yang berkaitan serta kerajaan tempatan yang terjejas akan menggerakkan sepenuhnya semua sumber yang ada dan melaksanakan kerja pemulihan kecemasan dengan segera,” kata Menteri Dalam Negeri Yun Ho-jung di bandar Sejong, sambil memaklumkan bahawa tumpuan kerajaan kini beralih daripada bertindak balas terhadap hujan kepada pemulihan kerosakan.

Dalam perkembangan berasingan, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa Perdana Menteri Kim Min-seok telah mengarahkan Menteri Pertanian Song Mi-ryung untuk melawat daerah Sancheong di selatan negara itu dan merangka langkah sokongan.

Sancheong mencatatkan jumlah korban tertinggi dalam insiden itu.

Perdana menteri turut mengarahkan Menteri Dalam Negeri supaya melawat kawasan terjejas pada Isnin untuk meninjau keadaan penduduk serta merangka pelan sokongan yang lebih terperinci.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan