TASEK GELUGOR, 20 Julai (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) terus komited turun padang bagi mendekati masyarakat luar bandar melalui penganjuran Program PERDA Santuni Komuniti MADANI #PERDADiHati.
Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata program yang bermula sejak 2023 itu menyaksikan 11 siri telah dilaksanakan di seluruh Pulau Pinang, dan diteruskan tahun ini di lima kawasan di bawah pentadbiran PERDA dengan sasaran penglibatan 10,000 orang.
“Tahun ini kali ketiga kita menganjurkan Program PERDA Santuni Komuniti MADANI #PERDADiHati dan kawasan Pokok Machang dalam Parlimen Tasek Gelugor dipilih sebagai lokasi pertama dan akan diteruskan di empat lokasi lain termasuk di bahagian pulau sehingga Oktober.
“Langkah ini antara inisiatif strategik PERDA dalam usaha membantu dan menyejahterakan masyarakat, khususnya komuniti luar bandar dengan pendekatan secara terus. Hal ini penting bagi memastikan mereka turut mendapat akses kepada maklumat serta manfaat terkini berkaitan pelbagai inisiatif dan perkhidmatan disediakan kerajaan,” katanya.
Shaik Hussein berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program PERDA Santuni Komuniti MADANI #PERDADiHati di padang awam Pokok Machang, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Besar PERDA Datuk Mohd Asri Baharum.
Beliau berkata melalui pelaksanaan program itu, PERDA membawakan perkhidmatan agensi dan jabatan kerajaan terus ke kawasan luar bandar, sekali gus mengurangkan jurang akses maklumat serta perkhidmatan antara masyarakat bandar dengan masyarakat desa.
Penglibatan semua agensi dan jabatan dalam program itu katanya, membolehkan perkhidmatan diberikan dengan lebih menyeluruh, inklusif dan mesra rakyat, sejajar dengan aspirasi MADANI yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan bersama.
Sementara itu, Mohd Asri berkata program berkenaan juga membolehkan mereka mendapatkan input daripada komuniti luar bandar agar dapat digunakan dalam penambahbaikan pelan strategik PERDA.
Selain Program PERDA Santuni Komuniti MADANI #PERDADiHati, PERDA turut mengadakan sesi libat urus dengan usahawan dan peniaga gerai makanan bagi menyampaikan penerangan serta maklumat mengenai pengurusan premis milik PERDA yang disewakan kepada mereka.
Terdahulu, program itu melibatkan pelbagai pengisian bersifat menyeluruh dan mesra komuniti seperti ceramah motivasi atau keibubapaan, jualan Agro MADANI dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan penyampaian sumbangan program peningkatan ekonomi serta bakul rahmah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial