AM

JPJ Perinci Tindakan Susulan Laporan Awal Nahas Pelajar UPSI

19/07/2025 03:52 PM

KUALA NERUS, 19 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperincikan beberapa lagi tindakan yang akan diambil terutama kepada syarikat pengendali bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bulan lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata ia susulan laporan awal Pasukan Petugas Khas berkaitan tragedi tersebut yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) semalam.

“Itu kita sedang perincikan dan memang telah ambil tindakan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan membatalkan permit (syarikat bas). (Akan) ada beberapa perkara lagi (tindakan).

“Tindakan ke atas pemandu bas pula, ia sedang dalam proses mahkamah jadi di peringkat JPJ kita tidak ganggu. Sekiranya berlaku kemalangan maut yang melibatkan pemandu, tindakan akan diambil oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) Peringkat Negeri Terengganu 2025, di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata berdasarkan laporan awal tersebut, keseluruhan perkara harus dilihat dan diambil tindakan bukan sahaja oleh JPJ atau PDRM malah agensi lain juga bagi menambah baik sistem keselamatan jalan raya di negara ini.

Dilaporkan, laporan awal nahas itu mendapati kelajuan bas yang melebihi dua kali ganda had laju  ditetapkan merupakan antara punca kemalangan berlaku.

Laporan awal itu juga antara lain menyatakan siasatan terhadap insiden berkenaan mendedahkan kelemahan sistemik dalam aspek tadbir urus industri, pematuhan peraturan dan keberkesanan penguatkuasaan oleh pihak pengendali serta agensi kawal selia. 

Pada 9 Jun lepas, negara dikejutkan dengan kemalangan maut membabitkan sebuah bas membawa 42 mahasiswa UPSI yang dalam perjalanan dari Jertih ke Tanjung Malim, Perak.

Nahas yang turut melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di Gerik itu meragut 15 nyawa penuntut universiti berkenaan.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata JPJ telah mengeluarkan 1,274 notis kompaun melalui Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar terhadap pemandu dan penumpang bas ekspres, bas persiaran dan kenderaan barangan sejak 1 Julai hingga hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 1,000 notis dikeluarkan kepada penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar dan 262 notis diberikan kepada pemandu atas kesalahan sama manakala 12 notis diberikan kepada pihak bas ekspres yang tidak memasang tali pinggang keledar.

“Bagi penumpang, sebanyak 878 notis diberikan kepada penumpang bas ekspres, 107 notis kepada penumpang bas persiaran manakala 15 notis kepada penumpang atau kelindan kenderaan barangan.

“Bagi pemandu pula sebanyak 33 notis kepada pemandu bas ekspres, 24 pemandu bas persiaran dan 205 pemandu kenderaan barangan,” katanya.

Terdahulu, majlis pada hari ini menyaksikan 968 peserta di Terengganu berjaya menamatkan latihan dan ujian lesen memandu di bawah Program MyLesen B2 anjuran JPJ Terengganu, dan menerima lesen mereka.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan