AM

Elak Hasutan, Kekalkan Perpaduan Demi Kemajuan Negara - Anwar

19/07/2025 02:55 PM

BATU KAWAN, 19 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan hasutan kebencian kaum atau meluahkan perasaan hingga menjejaskan keharmonian, sebaliknya fokus kepada perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia bagi menyokong usaha kerajaan memajukan negara.

Beliau menegaskan bahawa kemajuan negara tidak dapat dicapai melalui sentimen perkauman, sebaliknya kestabilan dan keharmonian merupakan asas penting ke arah pembangunan mampan.

Anwar berkata Kerajaan MADANI yang diterajuinya sedang berusaha menyelesaikan masalah rakyat termasuk isu perumahan, kemiskinan dan kos sara hidup tanpa meminggirkan mana-mana kaum khususnya kumpulan minoriti.

“Saya hendak bagi satu ingatan kepada rakyat Malaysia dan ini tanggungjawab bersama. Kalau nak selamatkan negara ini, kita mesti jaga perpaduan negara. Inilah kekuatan kita.

“Memang Melayu Bumiputera majoriti tetapi kalau kita santuni semua, jaga Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan kita akan selamat. Kita mesti bersatu dan harmoni, ini bukan soal kemestian tapi soal survival Malaysia,” katanya ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy.

Perdana Menteri berkata semua pihak harus mengambil pendekatan menyeluruh melalui perbincangan bagi menyelesaikan sesuatu isu dan bukannya dengan cara menghasut atau meluahkan perasaan termasuk mendedak beliau meletakkan jawatan.

“Siapakah yang tidak boleh tukar kerajaan? Boleh, bawa usul di Parlimen (bahawa) Perdana Menteri hilang sokongan, (maka) Perdana Menteri harus letak jawatan, tetapi tidak boleh sebab tiada sokongan, hendak tunggu Pilihan Raya (Umum Ke-16) tapi tak sabar.

“Jangan anggap ini semua mudah kerana untuk (negara) membangun itu mengambil waktu tetapi merobohkan itu senang sekali. Negara ini aman sebab rakyat lebih matang, tidak terima hasutan menimbulkan perpecahan,” katanya.

Dalam konteks antarabangsa pula, Anwar berkata kestabilan Malaysia telah menarik perhatian dunia dengan Kuala Lumpur menjadi lokasi perbincangan penting semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 baru-baru ini.

"Kuala Lumpur menjadi perhatian dunia baru-baru ini dan kali pertama rundingan peringkat tertinggi setelah Donald Trump mengambil alih sebagai Presiden (Amerika Syarikat), ada rundingan antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dengan Menteri Luar China  Wang Yi.

"Dua-dua juga ambil kesempatan berbincang tetapi yang penting, mereka beri ruang kepada Malaysia. Kemudian kali pertama juga Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov berunding dengan Rubio dalam rundingan peringkat tertinggi," katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan tambahan RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan Negara bagi menjayakan program kenegaraan.

Terdahulu, Aaron dalam ucapannya memohon jasa baik Perdana Menteri agar dapat mempertimbangkan peruntukan khusus RM10 juta bagi melaksanakan program-program kenegaraan untuk generasi muda.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan